fbpx

Biru Malam hadiah dari hati Chubb-E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMASA negara berdepan peperangan melawan pandemik Covid-19 yang belum berakhir ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua, banyak agenda perseorangan bahkan semua pihak terjejas teruk.

Natijahnya, ramai khalayak hidup dalam situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dari satu sisi lain pula, golongan selebriti yang sering dilabel banyak duit juga turut terkesan.

Cuma bagi penyanyi muda Chubb-E, terma terjejas dalam konteks hidupnya bukanlah melibatkan wang ringgit. Sehingga kini dia bersyukur masih mampu menjalani kehidupan seharian dengan sempurna walaupun tidak mewah.

Jelas pemilik nama sebenar Muhammad Shahrul Ashlyn Awang Ashrul Affandy itu, apa yang meresahkan ialah jika suatu hari nanti tumbuh perasaan acuh tak acuh dalam hatinya.

CHUBB-E menyiapkan rakaman lagu Biru Malam sebelum pelaksanaan PKP diwartakan biarpun ketika itu dia sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama.

Dia yang baru muncul dengan single Biru Malam bergandingan dengan rakan artis Amir Masdi mengakui, perancangan untuk projek tersebut sedikit tergendala gara-gara pelaksanaan PKP.

“Awalnya, saya memang sudah susun rangka promosi terbaik untuk lagu baharu ini. Termasuk penggambaran video muzik dengan konsep tersendiri dan pemasaran.

“Tetapi apakan daya, kita tidak boleh menjangka perkara seperti ini (PKP) akan berlaku lagi. Sejujurnya saya takut, kalau nanti timbul perasaan ‘asal boleh’.

“Maksudnya, buat semua kerja ala kadar sahaja, tidak menjaga kualiti. Kalau beria-ia buat, akhirnya semua benda tidak boleh jalan sebab ada halangan seperti sekarang,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Mengakui dirinya sangat menjaga kualiti muzik yang dipersembahkan kepada peminat, lagu Biru Malam sebenarnya satu tanda aras buat Chubb-E secara peribadi.

KEDENGARAN agak pelik, namun Chubb-E mengakui dia banyak mengambil inspirasi tentang muzik dan nyanyian daripada penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang.

Bekas peserta program Dansa Dan Sing itu menyifatkan Biru Malam sebuah karya yang cukup dekat dengan hatinya.

“Saya jarang keluarkan lagu. Dalam setahun, cuma ada satu lagu yang saya lancarkan. Biru Malam sebenarnya sangat dekat dengan diri saya sendiri.

“Niat saya keluarkan lagu ini cuma untuk sampaikan mesej kepada pendengar, jauh sekali letak sasaran untuk mengejar hit atau viral. Kalau ada, itu semua bonus,” ujarnya.

Kenal diri

Menceritakan lanjut, Biru Malam menurut Chubb-E berkisarkan sikap manusia yang perlu mengambil sedikit masa untuk mementingkan diri sendiri supaya tidak lalai dengan dunia atau hasutan lain.

“Sebenarnya tanpa sedar, ramai yang terleka sebab mahu puaskan hati orang lain. Pendek kata, mahu diterima orang sekeliling, sedangkan hati tidak rela.

“Lagu ini cuma memberitahu supaya kita patut mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Setiap malam, saya akan refleks diri tentang hari-hari dijalani.

“Buat pertama kali dalam hidup, inilah karya pertama yang terlahir sepenuhnya daripada ketulusan hati. Semuanya tentang pengalaman yang saya lihat di sekeliling,” katanya penuh makna.

PADA awalnya, Chubb-E masih tercari-cari waktu sesuai tentang tarikh pelancaran lagu Biru Malam. Namun, selepas dinasihatkan keluarga, dia bersetuju meluncurkannya walaupun ketika tempoh PKP.

Awalnya lagu yang diluncurkan secara rasmi pada 22 Januari tersebut mahu diberikan kepada penyanyi lain yang meminta karya nukilannya.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk menyanyikan sendiri sementelah timbul rasa sayang andainya karya yang disifatkan lahir daripada luhur hatinya itu diberikan kepada orang lain.

“Ketika lagu tersebut siap, saya sedang melalui fasa sukar. Selepas mendengar semula lagu ini, rasa sayang pula mahu lepaskan kepada orang lain.

“Kemudian timbul sedikit perbalahan dengan mereka kerana tiada persefahaman. Kami memang berkawan tetapi kalau soal kerja, saya serius. Tetapi selepas itu, isu antara kami terkubur begitu sahaja,” jelasnya tanpa mahu memperincikan individu yang dimaksudkan.

Sistem lama

Diajak berbicara tentang kehidupannya selaku artis pada era mencabar kini, Chubb-E mengakui populariti bukanlah buruannya.

Paling penting, dia mahu berjuang mempersembahkan karya berkualiti kepada peminat dan industri seni tempatan.

“Tetapi sayangnya, industri muzik kita masih di takuk lama. Masih menggunakan sistem lama. Bukan niat untuk buat perbandingan tetapi sebagai orang muda, saya dapat lihat industri kita sukar berkembang ke luar kerana sangat terikat dengan selera atau kehendak pendengar.

POPULARITI bukan buruan, sebaliknya anak muda ini mengejar misi menjadi seorang penghibur dengan menghasilkan karya berkualiti untuk halwa telinga pendengar.

“Sampai akhirnya penggiat muzik terpaksa mengehadkan bakat sedangkan mereka boleh pergi lebih jauh. Saya sendiri lahir daripada kumpulan pemuzik underground.

“Selama ini, saya banyak tengok artis-artis yang tidak dikenali itulah sebenarnya sangat berbakat dan bijak menghasilkan karya berkualiti.

“Cuma sekarang kita dapat lihat perubahan berlaku, contohnya apabila muzik hip hop semakin diterima dan diputarkan dalam radio. Ini satu petanda baik,” ujarnya meluahkan pandangan.

Lakonan

Selain nyanyian, Chubb-E juga semakin laris dilamar rumah produksi apabila terbaharu muncul dalam drama bersiri Projek Anchor SPM yang akan bersiaran Mac depan.

Memegang watak sebagai Botol, penyanyi kelahiran Sabah itu mengakui berdepan cabaran ketika memulakan penggambaran.

SEMAKIN laris menghiasi kaca televisyen, drama lakonan terbaharu Chubb-E berjudul Projek Anchor SPM akan mula menemui penonton Mac depan.

“Sejujurnya, saya terima tawaran berlakon drama tersebut pada saat akhir menggantikan pelakon asal.

“Sehari sebelum penggambaran bermula, barulah saya dipanggil.

“Jadi agak sukar mencari keserasian dengan pelakon lain sebab sebelum itu mereka sudah buat persediaan bersama-sama.

“Pendek kata, ada rasa canggung tetapi lama-kelamaan semuanya okey sebab mereka semua sangat baik ketika di lokasi penggambaran,” katanya yang mengakui seronok berlakon.

Sebelum ini, Chubb-E pernah membintangi telefilem Ada Yang Ngikut terbitan Astro Citra tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI