SESIAPA sahaja yang pernah berkunjung ke teratak milik Mohiaddin Abd. Rahman atau mesra disapa sebagai Mamu Din, 47, di Taman Merak Jaya, Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang ini pastinya tidak akan dapat lari daripada merasai suatu pengalaman yang berbeza dan unik.
Dari luarannya lagi, pandangan mata terasa ‘sejuk’ apabila melihat pemandangan ‘hijau’ bak rimba daripada cebisan dedaun serta pepohon buluh yang dijadikan hiasan dinding, tirai dan pintu di kediaman tersebut.
Malah, aura kedamaian semakin meresapi jiwa apabila mendengar bunyi desiran air terjun mini tatkala melangkah masuk ke dalam rumah itu.
Menjengah ke ruang tamu pemiliknya pula, mata terus tertancap pada dinding yang dihias dengan aneka jam buatan sendiri serta pelbagai produk kraf lain yang kebanyakannya diperbuat daripada tayar dan barang terbuang lain.
Semua pemandangan itu sebenarnya sudah cukup untuk menceritakan betapa kreatif dan inovatifnya Mohiaddin dalam menghasilkan sesuatu rekaan sama ada untuk kepuasan dirinya atau untuk dijual.
Kata Mohiaddin ketika ditemui Panorama baru-baru ini, dia telah berkecimpung dalam aktiviti tersebut sejak 20 tahun lalu, namun hanya berani mengkomersialkan rekaannya sejak beberapa tahun yang lalu.
Katanya, itupun disebabkan oleh desakan serta cetusan idea daripada ahli keluarga serta kenalannya yang percaya produk-produk yang dihasilkannya mampu mendapat permintaan yang tinggi jika dikomersialkan sepenuhnya.
“Bermula dari situlah, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman (Pulau Pinang) dan mula menumpukan kepada kerja-kerja pertukangan dan kraf ini.
“Alhamdulillah, usaha saya dipermudahkan dan saya juga bersyukur kerana dikurniakan dengan pelbagai kelebihan oleh Allah SWT khususnya dalam kerja-kerja berkaitan seni ini untuk dijadikan sumber pendapatan keluarga,” katanya yang sebelum itu menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai seorang kontraktor.

Selain produk jam dinding, Mohiaddin juga menghasilkan meja dan tempat meletakkan payung daripada tayar terpakai selain rumah burung, kalendar serta beberapa produk lain di bawah jenama Custom Made: Mamu Wood.
Ujar Mohiaddin, dia tidak mengehadkan tempoh atau masa tertentu untuk mendapatkan bahan bagi menghasilkan produknya terutama sekali tayar kenderaan terpakai.
“Selalunya, saya akan pergi cari sendiri tayar tersebut. Adakalanya saya singgah di kedai-kedai motosikal bertanyakan mengenai tayar terpakai yang hendak dijual. Ada yang diperoleh daripada rakan dan ada juga yang saya temukan di tempat-tempat longgokan sampah dan sebagainya.
“Biasanya, tayar kenderaan yang menjadi pilihan saya ialah tayar skuter untuk menghasilkan jam dan tayar kereta untuk membuat meja atau tempat meletak payung,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Mohiaddin berharap dengan usaha kitar semulanya itu dapat menghindari pembaziran barangan sekali gus menggalakkan kelestarian alam.
“Saya berasa sayang apabila melihat barangan seperti tayar itu dibuang begitu sahaja. Sebaik melihat tayar-tayar dan barangan terbuang itu, saya sudah dapat membayangkan produk kraf yang hendak dihasilkan,” ujarnya.

Jelas Mohiaddin, setakat ini, sambutan yang diterimanya juga sangat memberangsangkan, malah dia pernah menerima tempahan produk kraf buatannya hingga sejauh Singapura.
“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada rakan-rakan, saudara-mara serta para penggemar kraf yang amat menghargai hasil kerja seni saya serta kerja keras saya selama ini.
“Walaupun masih berdepan dengan pandemik Covid-19 hingga ke hari ini, mereka sentiasa menyokong perniagaan saya dan hanya Allah mampu membalas budi baik mereka itu,” katanya yang juga pernah menjadi penebar roti canai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula diperkenalkan Mac tahun lalu.

Selain mahir dengan kerja-kerja kayu atau pertukangan ini, Mohiaddin yang masih bekerja sebagai kontraktor secara sambilan juga berkebolehan dalam melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik serta perpaipan.
“Impian saya ialah untuk memiliki sebuah galeri sendiri bagi memudahkan pelanggan datang untuk memilih atau menempah produk kegemaran mereka.
“Ketika ini, rata-rata pelanggan saya hanya tahu mengenai produk kraf yang saya hasilkan menerusi laman Mudah.my atau Facebook atas nama saya sendiri sahaja Mohiaddin Abd Rahman,” katanya.
Ketika ini juga, sebahagian besar daripada produk tersebut dihasilkannya di rumah sementara menunggu bengkel dan pejabat yang terletak tidak jauh dari kediamannya boleh diduduki.
“Alhamdulillah, tempahan tidak pernah putus setakat ini kerana ramai yang menyokong perniagaan saya.

“Kadang-kadang, saya sempat tidur beberapa jam sahaja dalam sehari semata-mata untuk menyiapkan tempahan pelanggan,” ujar Mohiaddin yang turut aktif dalam kegiatan permotoran sebelum ini.
Tambah anak kelahiran Bagan itu, ketika ini, hanya anak ketiga berkongsi minat sama dengannya dan banyak membantu menyumbang idea penghasilan produk kraf yang lebih berkualiti tinggi.














