fbpx

Menteri cadang tubuh Datuk Bandar Incorporated

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa

PETALING JAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercadang mewujudkan Datuk Bandar Incorporated bagi mempermudahkan dan mempercepatkan program pembaharuan bandar ibu negara.

Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai banyak aset dan tanah, tetapi tidak boleh menjalin usaha sama dengan perkara-perkara yang bersifat mengaut keuntungan disebabkan peruntukkan undang-undang.

“Saya sedang meninjau bandar raya (DBKL) sendiri boleh mainkan peranan dengan mewujudkan Datuk Bandar Incorporated. Jika kita dapat baiki sikit dalam akta tertentu DBKL boleh wujudkan seperti mana Menteri Besar Incorporated.

“Dengan itu aset-aset yang ada pada DBKL boleh dipercepatkan untuk projek pembaharuan bandar raya (Kuala Lumpur),” katanya pada bual bicara eksklusif yang disiarkan secara dalam talian hari ini.

Terdahulu, Annuar menerangkan, bandar raya di seluruh dunia akan berhadapan istilah yang disebut sebagai ‘proses mereput’ sama ada dari segi fizikal dan keadaan sosial masyarakatnya.

Kata beliau, Kuala Lumpur yang cuma berkeluasan kira-kira 24,000 hektar, tetapi dengan bilangan penduduk yang kini sekitar 1.9 juta penduduk juga berhadapan perkara sama.

Justeru, katanya, Kuala Lumpur memerlukan kesediaan semua pihak dalam memberi keutamaan kepada program pembaharuan bandar raya supaya ibu negara kekal terancang, relevan dan membangun dengan baik.

Annuar berkata, kebiasaannya DBKL terpaksa menjual tanah untuk tujuan pembangunan, namun situasi itu menyebabkan orang ramai salah faham DBKL semata-mata menjual tanah.

Jelas beliau, DBKL sebenarnya melaksanakan pembangunan, tetapi dengan cara menjual tanah pada harga berdasarkan penilaian Kementerian Kewangan ditambah dengan keuntungan 20 peratus.

Justeru, katanya, Datuk Bandar Incorporated membolehkan DBKL tidak lagi sekadar melaksanakan usaha sama dengan hanya menjual tanah, sebaliknya boleh terlibat dalam usaha sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI