fbpx

Pelajar lebih teruja jika ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALYA Khadeeja memulakan sesi persekolahan secara dalam talian di gerai ibunya yang bersebelahan dengan sebuah restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor hari ini.

SUNGAI PETANI – “Saya tak sabar nak pergi sekolah untuk jumpa cikgu dan kawan-kawan,” demikian luahan seorang murid tahun satu, Halimatun Saadiah Hasrizal, 7, yang memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) semalam.

Halimatun sepatutnya memulakan sesi persekolahan sebagai murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kuala Muda, dekat sini semalam, namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Katanya, dia lebih teruja untuk ke sekolah kerana dapat menggayakan pakaian seragam sekolah dan beg sekolah baharu.

“Hari ini saya sudah berkenalan dengan Cikgu Sarina dan Cikgu Mimi melalui WhatsApp dan sudah diberi tugasan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Kuala Muda, dekat sini semalam.

Di Perak, biarpun sesi persekolahan tahun ini dilakukan secara dalam talian, namun bagi Afi Arish Rifqi Afi Roshezry, 7, dia tetap teruja dan bersiap seawal pukul 7 pagi dengan memakai pakaian seragam bersama beg dan alat tulis sama bagaikan mahu hadir ke sekolah.

HALIMATUN Saadiah sedang mengikuti pembelajaran secara online di rumahnya di Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah hari ini.

Afi Arish Rifqi perlu mengikuti minggu transisi bagi murid-murid Tahun Satu SKJP sebagai sesi pembelajaran awal iaitu mengenal guru-guru dan mata pelajaran menerusi rakaman video yang diterima menerusi aplikasi Telegram.

Ketika ditanya, dia memberitahu sangat teruja untuk bersekolah walau pun hanya berada di rumah kerana ingin belajar dan mengenal perkara-perkara baharu.

“Sangat merasa seronok dapat bersekolah kerana boleh belajar dan menulis. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan bercita-cita menjadi juruterbang.

“Kata cikgu, semua murid-murid boleh datang ke sekolah bila tamat Covid-19,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, bagi seorang pelajar tingkatan 1, Alya Khadeeja Mohd. Zaidi, 13, dia terpaksa mengikuti pembelajaran secara online di restoran ibunya di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong itu, ia berikutan ketiadaan akses internet di rumahnya selain tidak mahu ketinggalan dalam sesi pertama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

 

Katanya, dia menganggap perkara itu sebagai dugaan untuk berjaya dalam pembelajaran.

“Melihat kepada kesusahan ibu dan ayah mencari wang menyebabkan saya tidak pernah meminta mereka memasang peranti internet di rumah.

“Lagipun ketika ini terdapat keperluan lain perlu diutamakan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui di pusat perniagaan D’Bayu, di sini semalam.

Dalam pada itu, berbeza di Hulu Terengganu, hampir kesemua sekolah di daerah itu masih belum memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

NORIHAN menyusun buku teks anaknya, Nur Izyani Dalia di Kampung Nibong, Hulu Terengganu hari ini.

Seorang ibu, Norihan Awang, 45, berkata, guru anaknya, Nur Izyani Dalia Mohd Syukri, 10, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang memberitahu PdPR hanya akan dimulakan pada minggu depan.

Dia berkata, ibu bapa dikehendaki untuk mengambil buku teks anak masing-masing di sekolah.

“Saya difahamkan kebanyakan sekolah di daerah Hulu Terengganu turut menangguhkan PdPR bagi memberi peluang murid dan ibubapa melakukan persediaan dari segi gajet dan liputan Internet.

“Berdasarkan pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, guru akan menghantar latihan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Petai di sini semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI