fbpx

Lapan ahli Jemaah Tabligh selamat tiba dari India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUDIN JAFFAR

SEPANG – Seramai lapan ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New Delhi, India, hari ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kepulangan mereka adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Patna, Bihar yang telah membatalkan pertuduhan menyalahguna pas lawatan sosial ke atas mereka.

“Dengan kepulangan lapan ahli JT ini, terdapat hanya seorang ahli JT rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah terhadap kes beliau di Kishanganj, India.

“Sehubungan itu, kementerian menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli JT tersebut selepas pembebasan beliau kelak, ” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Kamarudin berkata, secara keseluruhannya, Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang seramai 188 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 180 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

“Selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa, kesemua JT yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kementerian ingin merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli JT rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI