fbpx

K2

Galeri Masjid Albukhary yang pertama di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASJID Albukhary di Alor Setar, Kedah memiliki seni bina unik yang diinspirasikan daripada masjid di seluruh dunia.

KEINDAHAN Masjid Albukhary di Alor Setar, Kedah nyata tidak dapat diungkap dengan kata-kata terutama seni bina bangunan itu yang diinspirasikan daripada masjid terkemuka di seluruh dunia. Masjid berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Masjid Alor Malai yang dibina pada tahun 1956 oleh kariahnya.

Terbaharu, Masjid Albukhary ikonik itu membuka sebuah galeri yang pertama seumpamanya di negeri Jelapang Padi itu.

Ia sejajar dengan pengisytiharannya sebagai Masjid Pelancongan di samping Masjid Zahir dalam Persidangan Imam-Imam Kebangsaan di Kuala Terengganu pada 2019.

Masjid Albukhary merupakan salah satu lokasi pelancongan di Kedah setanding masjid pelancongan terkemuka lain di negara ini.

Usaha membangunkan Galeri Masjid Albukhary bermula pada 2019 yang dijayakan dengan kerjasama antara ahli jawatan kuasa (AJK) masjid berkenaan dan Yayasan Albukhary yang dimiliki dermawan dan tokoh konglomerat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Galeri Masjid Albukhary yang dibuka secara rasmi pada 24 Disember lepas membolehkan pengunjung mengetahui mengenai sejarah, seni bina, dan maklumat masjid berkenaan bermula daripada pembinaan Masjid Alor Malai.

Majlis Perasmian galeri disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Md. Noor Ismail.

Selain tiga sudut itu, turut dipamerkan replika asal model masjid berusia 20 tahun yang digunakan untuk pembinaan masjid tersebut.

Sudut seni bina Galeri Masjid Albukhary antaranya mempamerkan tentang enam keunikan dan keindahan masjid berkenaan yang mempunyai tujuh kubah dengan sebuah kubah utama terletak di tengah-tengah ruang solat dengan saiz 14 meter garis pusat.

Sememangnya keindahan seni bina itu menyerlah dengan permukaan luarnya dihiasi corak dekoratif daripada kepingan jubin berukuran 24×25 milimeter.

GALERI Masjid Albukhary dibuka secara rasmi pada 24 Disember lalu.

Sementara sekelilingnya dihiasi dengan ayat suci al-Quran daripada surah Alhadid ayat satu hingga lapan dan dalamannya pula 99 nama Allah, Asma Ul Husna dengan tulisan khad (kaligrafi) kufi.

Di bawah kubah utama terdapat empat kubah separa bulat yang diletakkan pada empat penjuru. Bahagian bawah kubah utama dan setiap bahagian dalam kubah tertera surah al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Hiasan motif kubah itu direka khas mengikut kubah Masjid Shah ketika kerajaan Safavid di Isfahan, Iran.

Keistimewaan lain, reka bentuk menara masjid yang berdasarkan seni bina menara Masjid Nabawi di Madinah dengan ketinggian 47.92 dari aras tanah.

Turut dipamerkan, ciri lain Masjid Albukhary iaitu seni reka mimbarnya yang diperbuat daripada kayu jenis Burma Teak dan seni binanya diadaptasi daripada replika mimbar di Masjid Qiblatan Madinah dan mimbar Mamluk di Masjid Qaitbay Kaherah di Mesir.

PARA pengunjung berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Masjid Albukhary.

Menurut Imam Masjid Albukhary, Mohmad Nasrudin Ismail yang merupakan imam kelima, kewujudan galeri itu akan memberi nilai tambah kepada Masjid Albukhary sebagai Masjid Pelancongan pertama di negeri Kedah.

Katanya, walaupun Masjid Albukhary terkenal di negara ini, namun proses pengumpulan maklumat data agak mencabar.

“Antara cabarannya, kami sebagai AJK perlu melawat beberapa galeri masjid lain di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang untuk mendapatkan gambaran mengenai bahan yang sesuai untuk dipamerkan.

“Seterusnya, kami harus mengumpul maklumat awal Masjid Alor Malai termasuk imam-imamnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan baru-baru ini.

Menurut imam berkenaan, pihaknya berhasrat untuk mengadakan khidmat pemandu pelancong di masjid itu untuk memastikan pengunjung mendapat maklumat berkaitan masjid dan agama Islam.

“Ketika ini Galeri Masjid Albukhary hanya dibuka mengikut permintaan kerana pandemik Covid-19. Selepas keadaan pulih nanti, kita akan membuka sepenuhnya kepada orang awam,” katanya.

Bukan sekadar pameran galeri katanya, ia diharapkan menjadi wadah dakwah kepada pengunjung.

Masjid Albukhary mula dibina pada awal Mac 2000 dan siap sepenuhnya pada November 2001.

Selaras dengan konsep masjid sebagai pusat ibadah pembangunan dan perkembangan ummah, Masjid Albukhary dilengkapi dengan kemudahan ruang sembahyang yang dapat menampung lebih 15,000 jemaah.

Ia turut mempunyai lapan bilik pengajian, lima bilik wuduk, bilik pengurusan jenazah, pejabat imam, bilik mesyuarat dan kemudahan yang mesra orang kelainan upaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI