fbpx

Yang cantik dipuji, yang buruk dikeji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

Lumrah alam dan manusia, sesuatu atau seseorang yang terlihat sempurna, indah, cantik, manis, menawan, berbunyi lunak, merdu dan sedap akan mudah menuai pujian mahupun kekaguman ramai.

Tanya pada diri dan jangan berbohong tentang hal yang sebegitu. Mata dan telinga manusia mahupun binatang sukakan sesuatu yang mendamaikan.

Namun, seperti alam. Malam bergelap dan siang terang benderang, semuanya ada vice versa. Sebab itulah juga adanya kata-kata, hitam putih lambang kehidupan.

Hitam mewakili kedukaan, keburukan, kebinasaan mahupun kejahatan, manakala putih merujuk tentang segala-gala kebaikan mahupun kesempurnaan.

Penulis tidak berniat untuk bermain-main dengan kata-kata klise ini, namun itulah yang terfikir untuk ditulis hasil menyibuk melayan satu topik yang agak panas dalam media sosial beberapa hari lalu.

Senang cakap, tentang seorang wanita tidak cantik macam Audrey Hepburn tetapi cuba berniaga benda-benda cantik dengan cara membuat live menyolek wajahnya. Dia mungkin jual produk solekan atau sekadar suka-suka tunjuk cara solekan untuk wanita mencari-cari teknik terbaik untuk tampak cantik.

Tak kisahlah apa yang dijual, yang penting dia ada keyakinan diri yang tak boleh dibeli dalam Shopee (menjawab pertanyaan sinikal seorang netizen kepada wanita itu).

Penulis terpanggil memanjangkan isu tentang ciapan yang berbunyi: “Bila seseorang yang tak capai standard cantik buat siaran langsung, bukan main beberapa manusia bagi komen menyakitkan hati.”

Bukan soal tak cantik, tak layak buat jualan secara langsung dalam media sosial, soalnya, ramai manusia berhati tak cantik jadi pemerhati dan bersiap siaga untuk jadi pembuli siber di mana sahaja.

Buat penulis, sudah masuk tahun 2021 masih ada orang perangai macam orang zaman purba.

Sekarang, tak payah susah baca sejarah Nabi untuk tahu pasal orang jahiliah. Buka sahaja media sosial, baca komen-komen tahulah kita bahawa jahiliah tak pernah terhapus. Mereka ada dekat dengan kita bahkan semakin bermaharajalela kerana percaya, ‘aku punya akaun, suka hati aku nak komen, nak post apa’.

Jangan salah anggap, penulis masih merujuk kepada komen-komen tak berhati perut netizen terhadap perempuan tak cantik yang mengajar orang ramai cara untuk nampak cantik tadi.

Dunia kadangkala terlalu kejam untuk insan tak berupa atau lahir dengan paras tak secantik atau selevel orang lain. Pembetulan, bukan dunia tetapi manusia ya.

Solusinya apa? Didiklah anak-anak kita dari seawal usia, supaya jangan mengata orang. Kalau tergamak, cubit terus mulut anak yang suka menjelir, menjuih atau mencebik hal orang. Tak tergamak nak cubit mulut, cubit pipi atau lengan dia, ajar sikit tentang sakitnya rasa bila sesuatu yang menyakitkan itu kena ke kulit muka sendiri.

Okeylah. Sekarang dah tahun 2021, cakap banyak pun tak guna, semua dah pandai cantik belaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI