fbpx

SOP lebih ketat tidak jejaskan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Redzuan Md. Yusof

PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat yang bakal diumumkan kerajaan esok tidak akan mengenepikan kelangsungan sektor ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Beliau berkata, sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok sekali lagi akan membincangkan SOP yang lebih ketat dan bersasar sebelum perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, setiap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dihadapi akan menjejaskan ekonomi negara dengan impak kepada keseluruhan ekonomi berjumlah lebih RM20 bilion dalam tempoh dua minggu pelaksanaannya.

“Saya berpendapat, kita tidak mahu pendekatan yang stereotaip. Macam PKP, PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP), lepas tu apa?

“Adakah kita akan kembali kepada PKP? Kita tidak mahu tergesa-gesa untuk memutuskan pelaksanaannya. Kita mahu memperketatkan SOP dan laksana pendekatan lebih bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Pemenang Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) 2020 kendalian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di sini malam tadi.

Mohd. Redzuan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keseimbangan antara nyawa dan kehidupan awam dalam pelaksanaan SOP lebih ketat tanpa membebankan ekonomi dan rakyat.

“Tidak adil kalau dalam situasi contohnya di Klang, data ada kira-kira 500 kes Covid-19 tetapi di Genting Highlands tiada kes. Takkan kita nak (laksana) PKP sepenuhnya.

“Ini akan memberi tekanan kepada ekonomi dari sudut pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, negara dalam keadaan bersiap siaga untuk mengekang penularan wabak Covid-19 antara lain menerusi kaedah-kaedah ujian yang dilaksanakan di lapangan.

“Kita perlu mengamalkan cara baharu dalam menguruskan situasi ini ke arah mencari jalan penyelesaian berbanding melihat kepada PKP yang membebankan ekonomi serta rakyat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI