PUTRAJAYA – Seorang lelaki ‘Abang Botak’ yang videonya tular menghentak cermin kereta Perodua Axia menggunakan topi keledar dua tahun lalu, kekal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Ia berikutan apabila panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Supang Lian membatalkan rayuan itu selepas pihak pendakwaan selaku perayu menarik balik rayuan terhadap Danial Abdullah Tan, 33, selaku responden.
Rayuan pihak pendakwaan itu berhubung hukuman Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 12 bulan terhadap Danial dengan denda RM10,000.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh memaklumkan pihaknya menarik balik rayuan yang difailkan pada 17 November tahun lalu itu terhadap Danial.
Faizah juga turut memaklumkan responden tidak hadir ke mahkamah pada hari ini. Peguam Azura Alias yang mewakili responden tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Pada 20 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengenakan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara terhadap Danial selepas membenarkan rayuan lelaki itu untuk mengetepikan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mei 2019.
Hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan terhadap Danial di Mahkamah Majistret Petaling Jaya tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Danial yang juga bekas pembantu stor didakwa melakukan perbuatan khianat hingga menyebabkan kerosakan pada cermin bahagian hadapan kereta Perodua Axia, milik Siew Chean Voon, 60, dengan menggunakan topi keledar miliknya di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pukul 5.30 petang pada 28 Mei 2019. – K!ONLINE