fbpx

Pekerja industri punca kes positif Covid-19 meningkat di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pergerakan pekerja industri ke zon merah antara punca negeri Johor sekali lagi mencatat rekod tertinggi kes positif Covid-19 di Malaysia dengan sebanyak 1,103 kes baharu yang dikesan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 1,043 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah kes yang tinggi dan mendadak adalah susulan saringan sukarela yang dijalankan oleh pihak majikan kepada pekerja warga asing bermula Disember lalu.

“Berdasarkan siasatan di lapangan, Jabatan Kesihatan mendapati punca utama pengenalan kes baharu di kalangan pekerja industri adalah disebabkan pergerakan mereka ke zon merah di luar negeri Johor serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang telah diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penempatan warga asing yang tidak mematuhi SOP, sentiasa sesak dan sempit juga didapati menyumbang kepada penularan yang cepat di kalangan mereka.

“Sebaik sahaja Jabatan Kesihatan mengenalpasti lokasi industri yang melaporkan kes positif tinggi, tempat tinggal mereka (asrama) akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan ke dalam komuniti

“Sehingga semalam, terdapat tiga asrama pekerja asing yang telah diletakkan di bawah PKPD iaitu Asrama Westlite Johor Bahru, Asrama Westlite 1 dan Westlite 2 di Kulai serta Asrama Kejora Juara, Bukit Pasir di daerah Muar,” jelasnya.

Vidyananthan memberitahu, terdapat juga satu kluster baharu yang dilaporkan iaitu Kluster Senai Murni yang merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Kulai.

“Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula 31 Disember lalu melalui saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga semalam, seramai 190 individu telah disaring, 66 daripadanya telah dikesan positif Covid-19.

“Ini menjadikan kumulatif kluster aktif di negeri ini adalah sebanyak 36 antaranya ialah Kluster Firma (mukim Bandar), Kluster Persiaran Teknologi (mukim Kulai), Kluster Bersepadu (mukim Pengerang), Kluster Jalan Padu (mukim Tebrau), Kluster Parit Jamil (mukim Parit Jawa),” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI