fbpx

24 individu ditahan disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan forex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada barang rampasan pihak polis.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 individu ditahan polis termasuk 2 warga asing dipercayai terlibat sindiket penipuan pelaburan forex dalam satu serbuan di sekitar Lembah Klang.

Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah membuat serbuan di sekitar Lembah Klang pada 5 Januari lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, polis memberkas 16 lelaki serta enam wanita tempatan selain seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 57 tahun.

“Antara yang ditahan termasuk seorang lelaki tempatan yang menggunakan gelaran Datuk palsu bagi memperdaya mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Jelasnya, polis merampas 1,000 keping wang USD100 palsu, tujuh keping emas palsu, enam kenderaan mewah, 22 telefon bimbit, 10 komputer riba, 11 beg berjenama, barang kemas serta wang tunai bernilai RM2,230.

Tambahnya, sindiket tersebut telah beroperasi selama dua tahun.

“Modus Operasi digunakan dengan menjual perisian komputer bagi tujuan analisa situasi pasaran forex serta dipercayai membina laman sesawang palsu untuk meyakinkan mangsa menyertai pelaburan.

“Selain itu, sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan wang tunai mata wang USD serta bar emas palsu yang ditemui di lokasi serbuan bagi meyakinkan mangsa terhadap pelaburan terbabit,” katanya.

Selain itu, katanya, mangsa diminta membuat pembayaran deposit melalui beberapa kaedah seperti bayaran tunai, pemindahan wang ke dalam akaun bank diberikan sindiket dan menggunakan mata wang digital (krypto).

“Mangsa kemudian akan berdagang dan keuntungan diperoleh dapat dikeluarkan pada peringkat awal pelaburan sehingga mereka bertambah yakin dengan pelaburan disertai dan memperkenalkannya kepada kenalan lain.

“Namun, masalah mula timbul selepas keuntungan diperoleh tidak dapat dipindahkan ke akaun bank mangsa sebelum mereka menyedari ditipu sindiket terbabit,” katanya.

Tambahnya lagi, polis menerima kira-kira 325 laporan berhubung kes terbabit pada tahun lepas dan anggaran kerugian bernilai lebih daripada RM21 juta.

“Jumlah kes meningkat pada tahun 2020 berbanding pada tahun 2019 dengan 100 kes melibatkan kerugian lebih daripada RM15 juta.

“Manakala pada tahun 2018, sebanyak 150 laporan kes penipuan dengan anggaran kerugian lebih daripada RM18 juta,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI