fbpx

Jabatan Perikanan terus pantau aktiviti kecurian benih kerang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jabatan Perikanan Malaysia

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia akan sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di laut dan darat bagi mengekang kes kecurian benih kerang.

Menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini, jabatan juga memaklumkan, tindakan penguatkuasaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain juga akan diteruskan.

“Jabatan mengalu-alukan sebarang laporan berkenaan salah laku kakitangan jabatan yang menyalahi undang-undang atau tidak berintegriti.

“Malah, sebarang bukti boleh diserahkan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Katanya, jabatan juga akan memberi sokongan penuh terhadap siasatan yang dijalankan jika wujud sebarang salah laku warganya berhuhung aktiviti kecurian benih kerang khususnya di Selangor.

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Perikanan itu adalah reaksi kepada memorandum yang dihantar oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos di sini petang tadi.

Menurutnya, pihaknya menjelaskan aduan bahawa tiada tindakan tegas dibuat jabatan berhubung isu itu adalah tidak tepat.

“Jabatan ingin memaklumkan bahawa beberapa aktiviti penguatkuasaan dilakukan sepanjang Disember lalu dan awal tahun ini bagi membanteras kegiatan itu.

“Pada 17 Disember lalu, Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam berjaya merampas 10 guni anak kerang termasuk peralatan bernilai kira-kira RM20,000.

“Malah, pada 30 Disember lalu, penguatkuasa turut menyita 13 guni benih kerang dianggarkan bernilai RM26,000.

“Terbaru, Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam merampas 18 tangguk tangan yang digunakan untuk aktiviti mencuri anak kerang pada 1 Januari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jabatan sama sekali tidak membenarkan sebarang aktiviti pengambilan benih kerang di kawasan tapak benih semula jadi kerang oleh sesiapun termasuk nelayan dan penternak dengan menggunakan apa-apa kaedah sekiranya tidak berlesen termasuk penggunaan bot berenjin rotor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI