fbpx

Tiga daerah di Johor dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat PPS di SK Batu 10, Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tiga buah daerah di negeri ini dilanda bencana banjir sejak semalam membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 348 mangsa banjir daripada 87 keluarga telah dipindahkan setelah kediaman mereka dinaiki air.

Beliau berkata, punca banjir melanda negeri ini berpunca daripada hujan sederhana lebat yang berpanjangan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Katanya, susulan kejadian itu, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka membabitkan dua PPS di Kota Tinggi dan di bandar raya ini dan satu PPS di Kluang.

“Dua PPS yang dibuka di Johor Bahru ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai yang dibuka sejak semalam.

“PPS di Kluang melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ping Ming manakala dua PPS di Kota Tinggi dibuka di SK Telok Ramunia dan Dewan Seri Delima, Kampung Sungai Telor. Ketiga-tiga penempatan ini dibuka sejak pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 185 mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat ditempatkan di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru manakala 90 mangsa dari Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke SK Batu 10.

Sementara itu, 30 penduduk Kampung Bukit Raja, Pengerang yang terjejas bencana banjir dipindahkan ke SK Telok Ramunia dan 20 penduduk Kampung Sungai Telor ditempatkan ke Dewan Seri Delima di kampung itu manakala SJKC Ping Ming pula dibuka bagi menempatkan 23 mangsa daripada Kampung Yap Tau Sah.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala hujan lebat dijangka berlaku di kawasan Batu Pahat dan Pontian pada hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI