fbpx

Sekolah mula beroperasi 20 Januari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan bagi tahun 2021.

Berdasarkan takwim itu, sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu (Kumpulan A) akan dibuka pada 20 Januari dan tamat pada 9 Disember 2021.

Sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (Kumpulan B) pula akan dibuka pada 20 Januari 2021 dan tamat pada 10 Disember 2021.

Sementara itu, semua kategori institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa akan dibuka berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

KPM berkata, pembukaan ini melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“KPM ingin menegaskan bahawa pengoperasian kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, KPM berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan,” katanya.

Takwim Persekolahan 2021 boleh dirujuk di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my/takwim. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI