PUTRAJAYA – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Laju (HSR) Kuala Lumpur -Singapura (KL-SG) ditamatkan setelah Perjanjian Bilateral projek itu terbatal secara sendirinya semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan akhbar bersama hari ini.
Kenyataan itu berkata, Malaysia dan Singapura akan mematuhi syarat masing-masing dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diperlukan berikutan penamatan perjanjian projek HSR itu.
“Kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR susulan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara.
“Kedua-dua kerajaan telah melakukan beberapa perbincangan mengenai perubahan ini namun gagal mencapai kesepakatan. Untuk itu, perjanjian HSR terbatal secara sendirinya pada 31 Disember lalu,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Malaysia dan Singapura menegaskan akan tetap komited menjaga hubungan dua hala dan bekerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.
Perjanjian Bilateral HSR KL-SG dimeterai Malaysia dan Singapura pada Julai 2016 sebelum projek bernilai RM110 bilion itu ditangguhkan selama dua tahun bermula September 2018 hingga 30 Mei 2020.
Penangguhan projek sepanjang 350 kilometer (km) itu kemudian dilanjutkan sehingga dari 31 Mei hingga 31 Disember lalu bagi membolehkan kedua-dua pihak membincangkan sebarang perubahan yang perlu.
Sekiranya diteruskan, projek HSR disasarkan memulakan operasi pada tahun 2026 dan akan melalui lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Jurong East di Singapura.
Laluan itu dijangka mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.-K! ONLINE