fbpx
Beruk kentoi yang kudung kaki akibat terkena jerat dawai di kawasan hutan di Wang Kelian dekat Padang Besar baru-baru ini.

Nasib malang si kudung beruk kentoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Beruk kentoi atau nama saintifiknya Macaca Arctoides adalah spesies unik kerana di negara ini, haiwan primat itu hanya boleh ditemui di hutan negeri Perlis.

Populasi paling banyak dikesan berada di Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Wang Kelian di Taman Negeri Perlis dekat sini.

Haiwan itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagaimanapun, beruk kentoi kini diancam jerat dawai yang dipasang pemburu haram di habitat haiwan tersebut berada di sekitar hutan berkenaan.

Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, tindakan memasang jerat dawai tersebut menyebabkan beruk kentoi kudung kakinya terkena perangkap itu.

“Kami pernah menemui beberapa jerat yang dipasang untuk menangkap babi. Ia menjadi antara ancaman kepada beruk kentoi kerana 60 peratus aktiviti haiwan itu adalah di atas tanah, manakala selebihnya di atas pokok.

“Pernah kita jumpa tiga ekor beruk kentoi yang kudung dipercayai akibat terkena jerat,” kata­nya ketika ditemui di Wang Kelian di sini baru-baru ini.

Hutan Simpan Kekal Mata Ayer antara habitat beruk kentoi.

Kata Syamil, ancaman jerat itu biasanya berlaku pada musim buah apabila terdapat banyak babi berkeliaran di kawasan pinggir jalan.

“Babi-babi itu dipercayai ditangkap untuk tujuan komersial,” ujarnya.

Menurutnya, kamera khas yang dipasang PNW bagi memantau beruk kentoi pula disyaki dicuri pemburu bagi mengelakkan tindakan pemasangan jerat dikesan penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Beruk kentoi terdedah de­ngan ancaman jerat itu kerana kumpulan haiwan tersebut menggunakan laluan yang sama dengan binatang lain untuk mencari makanan,” ujarnya.

Syamil memberitahu, ancaman jerat setakat ini terkawal kerana sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Perhilitan serta PNW sendiri.

“Kita berharap tiada lagi pemburu yang memasang jerat berbahaya di kawasan hutan ini bagi mengelak terkena kepada beruk kentoi,” ujarnya.

Syamil berkata, beruk kentoi sebenarnya berupaya memberi nilai tambah kepada keunikan dalam industri pelanco­ngan Perlis.

“Kita ada spe­sies haiwan unik dan jarang ditemui yang boleh dijadikan daya tarikan pelanco­ngan. Kita perlu menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan supaya tidak mengu­bah diet asalnya atau menimbulkan konflik dengan manusia,” ujarnya.

Syamil berkata, kerajaan negeri boleh mewar­takan beruk kentoi sebagai wari­san Perlis dan membuat perancangan rapi dalam memperkenalkan haiwan itu sebagai satu daripada daya tarikan pelancongan.

“Mungkin pada peringkat permulaan, kerajaan negeri dengan kepakaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan boleh wujudkan program pendidikan untuk menjejaki dan mengenal beruk kentoi.

“Ia boleh dilakukan dalam kumpulan kecil dan intipati program perlu dipastikan tidak me­ngancam kehidupan haiwan tersebut secara rapat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN