fbpx

Nabila berterima kasih kepada Hael

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA RAZALI

REZEKI ialah satu kurniaan Ilahi yang sebelum kedatangannya, barangkali sukar untuk dihidu kehadirannya. Rezeki juga boleh didatangkan dalam berbagai-bagai bentuk.

Lumrah manusia, minda kita acap kali atau cenderung untuk berfikir bahawa rezeki itu lazimnya dicernakan hanya dalam bentuk kebendaan.

Sedangkan kita tahu, rezeki juga didatangkan dalam bentuk-bentuk yang selalu kurang tertangkap perhatian seperti kesihatan, cinta, bahkan rezeki untuk masih mampu menatap dan mendakap orang tua pada usia sekarang.

Merangkapkan dua tiga perenggan berkenaan rezeki, penulis baru-baru ini berkesempatan bertemu dengan seorang anak seni yang seringkali menjadi mangsa kritikan orang ramai kerana bakat nyanyiannya dikatakan tidak seberapa, Nabila Razali.

Ironi, semakin kencang kritikan dihamburkan kepada pemilik nama lengkap, Nur Nabila Mohd. Razali yang berusia 28 tahun itu, semakin membiak pula rezeki Tuhan memanjat tangga kehidupannya.

PEMILIHAN Hael Husaini sebagai penyanyi pengganti yang mempersembahkan lagu Peluang Kedua pada SFMM35 disifatkan Nabila sebagai keputusan paling tepat. – SHIDDIEQIIN ZON

Rezeki duta

Inferens sebegitu membuat penulis terfikir bahawa dalam deras amukan kritikan orang, di situ juga barangkali tersembunyi rezeki kita. Kritikan juga mampu bertukar menjadi doa yang disambungkan kepada Pencipta di atas sana. Bukanlah doa teraniaya mudah diberkati.

Buat Nabila, sekitar seminggu selepas dilantik sebagai duta produk kecantikan milik penyanyi nombor satu tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza, Beautessence, rezeki sekali lagi berpihak pada dirinya apabila dilantik pula sebagai duta produk minuman, BeFine.

“Bersyukur sangat-sangat. Biarpun sekarang masih dalam musim pandemik, saya masih diberi rezeki. Saya pun tidak tahu apa yang saya buat, tetapi satu persatu rezeki datang kepada saya.

“Keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan saya menggunakan suara secara berlebihan juga sebenarnya memperlahankan aktiviti seni saya.

“Ada beberapa kerja yang saya terpaksa tolak seperti penggambaran, lakonan dan nyanyian tetapi tak bermaksud saya tidak bekerja langsung,” kata pelantun lagu Peluang Kedua itu kepada HibGlam usai pelantikannya sebagai duta produk minuman, BeFine di Flora Terrace di ibu negara baru-baru ini.

Umum tahu, Nabila menarik diri daripada pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) yang sepatutnya berlangsung pada 22 November lalu atas faktor kesihatan yang berpunca daripada kecederaan berkaitan masalah pita suara.

Bagaimanapun, episod ketiga pertandingan SFMM35 ditunda gara-gara penyanyi Alif Satar yang bertanding pada dua hari sebelumnya disahkan positif Covid-19.

REZEKI mencurah-curah. TIdak sampai sebulan selepas dilantik sebagai duta Beautessence, Nabila menerima pula tawaran menjadi duta produk minuman, BeFine.

Hael Husaini

Malam tadi, komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini mengambil tanggungjawab menggantikan Nabila menyanyikan lagu tersebut.

Pada saat artikel ini ditulis, masih belum terjawab sama ada lagu berentak balada itu layak atau tidak ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Terdahulu, penundaan SFMM35 sekali gus menarik perhatian peminat yang rata-ratanya berharap agar Nabila sempat sembuh dan berpeluang menyanyikan sendiri lagu ciptaan Hael dan MFMF tersebut.

Biarpun seperti memberi bayangan ingin beraksi sendiri mendendangkan lagu Peluang Kedua pusingan ketiga yang berlangsung malam tadi, Nabila berkata, Hael merupakan individu paling tepat menyanyikan lagu itu.

“Hael tahu tentang permainan emosi dan penghayatan lagu ciptaannya.

“Terima kasih Hael atas kesudian menggantikan tempat saya. Layak atau tidak ke peringkat seterusnya, semua itu tergantung kepada rezeki,” katanya kepada HibGlam semalam.

Kata Nabila, dia tidak pernah terfikir atau ingin mencari publisiti merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai namun lega kerana urusan di peringkat separuh akhir sudah pun dilunaskan.

KECEDERAAN peti suara yang dialami Nabila memang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi kesan jangka panjang, masalah tersebut sangat berisiko untuk seseorang penyanyi profesional.

Doktor saran rehat

Biarpun masalah kesihatan dialami mungkin tidak nampak serius di mata orang ramai, tetapi kesan jangka masa panjangnya amat berbahaya sekiranya tidak sembuh terutama sebagai seorang penyanyi profesional.

“Masalah kesihatan saya ini memang disebabkan peti suara. Susah untuk dihuraikan, namun kesimpulannya saya perlu berehat daripada menggunakan secara berlebihan dalam percakapan.

“Masalah ini mula berlaku sewaktu latihan menyanyi sebagai persediaan untuk SFMM35.

“Suara saya kedengaran bermasalah dan sebaik mendapatkan rawatan, doktor memberitahu memang ia berkaitan kesihatan.

“Saya juga ada bertanya dengan rakan penyanyi lain dan memang ada yang pernah mengalaminya.

“Masa untuk sembuh bukan sekejap, malah ada berbulan-bulan dan bertahun-tahun,” katanya menggulung perbualan.

TERJEJAS rezeki dalam bidang nyanyian, namun rezeki Nabila sebagai duta produk kini semakin lebat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI