SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada waris Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
Tokoh Ekonomi Melayu itu meninggal dunia pukul 4 petang tadi akibat sakit tua pada usia 98 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sentiasa mengikuti rapat pandangan-pandangan dan buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata yang seharusnya diteladani.
“Selain mengenali Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu dan umat Islam, Beta turut kagum dengan pemikiran, aspirasi dan idea-idea Allahyarham yang merentas masa dan zaman,” titahnya dalam laman rasmi Faceook Selangor Royal Office sebentar tadi.
Baginda juga bertitah, secara peribadi juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib, serta anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Menzahirkan dukacita dan sedih, baginda berdua berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin. -K! ONLINE