fbpx

Papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah diturunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah diturunkan pada petang semalam

KUALA NERANG – Papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah di sebuah stadium di sini telah diturunkan selepas penggunaan nama yang didakwa bersempena nama pegawai daerahnya itu menerima kecaman pelbagai pihak.

KN Kiara Football Club menerusi akaun Facebooknya hari ini berkata, papan tanda tersebut diturunkan pada pukul 4 petang, semalam.

“Sehubungan itu, KN Kiara Football Club selaku penyewa stadium mini itu juga memutuskan untuk tidak menggunakan nama Ffira Mikah untuk apa-apa tujuan dan promosi.

“Buat sementara pihak kami menyebut sebagai Stadium Mini Kuala Nerang sehingga mendapat makluman terkini daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kelab berkenaan juga menerima sekiranya terdapat nama baharu untuk stadium itu.

“Moga nama stadium mini itu nanti akan lebih bercirikan kawasan Kuala Nerang dan daerah Padang Terap (sekadar cadangan),” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, katanya, kelab bola sepak itu diberi kepercayaan untuk menguruskan dan menyelenggara stadium tersebut mulai 1 Disember lalu.

“Stadium mini ini adalah milik PBT dan disewakan kepada pihak KN Kiara Football Club bagi tujuan menjalankan program pembangunan bola sepak akar umbi serta pelbagai aktiviti sukan bola sepak,” jelasnya.

Tambahnya, soal nama stadium dan urusan menaik taraf adalah urusan PBT.

Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap dan Majlis Daerah Padang Terap menerusi akaun Facebooknya turut berkongsi kenyataan KN Kiara Football Club berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Kosmo! Online semalam melaporkan Kerajaan Negeri Kedah akan meminta penjelasan daripada Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) berhubung penggunaan nama pegawai daerahnya pada sebuah stadium mini di sini.

Perkara itu tular di media sosial apabila didakwa menggunakan nama pegawai daerah kawasan itu secara terbalik sekali gus dipersoalkan oleh netizen. – K! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI