fbpx
KARAMJIT berharap dapat menggunakan jentera Proton Iriz R5 yang sudah siap dibina di England oleh Mellors Elliot Motorsport.

Karamjit mahu pacu Proton Iriz R5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelumba rali negara berhasrat untuk beraksi semula pada saingan APRC 2021

 

PELUMBA legenda rali negara, Karamjit Singh menyatakan hasrat untuk beraksi semula dalam saingan Rali Asia Pasifik (APRC) 2021 dengan menggunakan jentera Proton Iriz R5.

Karamjit yang pernah menjuarai perlumbaan tersebut pada tahun 2001 mengakui memerlukan dana sekurang-kurang­nya RM3 juta sekiranya ingin mengambil bahagian dalam perlumbaan tersebut yang dijangka bermula pada Mac 2021 depan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah melakukan pertemuan dengan Karamjit dan bersedia membantu pelumba rali negara itu beraksi semula selepas tidak lagi dapat berlumba kerana pandemik Covid-19 hingga menyebabkan dia terpaksa menjual kereta kesayangannya Proton Waja pada harga RM7,000.

REEZAL MERICAN (kanan) bersedia membantu pelumba rali negara, Karamjit beraksi semula dalam saingan APRC 2021 pada Mac 2021.

“Pada pertemuan tersebut, saya sudah beritahu Menteri Belia dan Sukan bahawa saya mahu menyertai APRC sekali lagi tahun depan dan menteri juga menyatakan kesediaan untuk mencari penaja kepada saya.

“Kalau boleh saya mahu menyer­tai perlumbaan tersebut dengan menggunakan jentera Proton Iriz R5 yang sudah siap dibina di England oleh Mellors Elliot Motorsport.

“Saya harap dapat guna jentera rali tersebut termasuk alat ganti serta bantuan daripada pakar kru Mellors Elliot Motorsport. Jika diikutkan saya memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menyertai perlumbaan lapan pusingan APRC termasuk kos penginapan, perjalanan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara semalam.

Untuk rekod, pencapaian Karam­jit atau dikenali dengan julukan Flying Sikh sangat cemerlang apabila muncul juara keseluruhan APRC tahun 2001, 2002 & 2004. Karamjit juga merupakan juara kategori APRC3 / 2WD Cup tahun 2011 dan 2012 serta juara Kategori Group N tahun 2000 dan 2001.

POPULAR