fbpx

Sultan Perak perkenan perletakan jawatan Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan titah terima kasih atas kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sudah melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar sejak 12 Mei 2018.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohd Nor berkata, Ahmad Faizal telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan dua kali mengangkat sumpah jawatan, kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, Sultan Nazrin telah menerima menghadap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang itu pada pukul 3 petang semalam di Istana susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Beliau berkata, Ahmad Faizal kemudian menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Dengan itu beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

“Permohonan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipersembahkan melalui warkah bertarikh 19 Rabiulakhir 1442 (5 Disember 2020), mendapat perkenan Baginda,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI