fbpx

TNB atur gerak aset, buka bilik gerakan hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Set janakuasa digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan persiapan rapi dan awal bagi memastikan pengurusan bencana banjir ketika musim tengkujuh kali ini teratur serta berada pada tahap terbaik.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata pihaknya telah membuka bilik gerakan dan menggerakkan pasukan di kawasan yang terjejas akibat banjir terutama beberapa negeri di Pantai Timur.

Menurutnya, pasukan teknikal juga giat memantau kawasan yang terjejas dengan banjir, selain menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik kepada Bilik Gerakan TNB.

“Bilik Gerakan kami di Kuala Terengganu, Marang, Kuala Berang, Besut dan Setiu di Terengganu telah diaktfikan selaras dengan pembukaan Bilik Gerakan Pengurusan Banjir Daerah Terengganu bermula Khamis lalu.

“Bekalan elektrik di pusat penempatan semula (PPS) mangsa banjir berada dalam keadaan baik. Sebanyak 14 set janakuasa berada dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Baharin berkata, selain mengadakan mesyuarat kordinasi banjir bersama pihak pengurusan bencana di setiap negeri, TNB juga menjalankan sesi latihan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerjanya.

Selain itu katanya, TNB juga telah menaik taraf pepasangan TNB di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir dengan meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pencawang.

“Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air, bekalan elektrik dihentikan sementara demi keselamatan semua. Penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan logistik, Baharin berkata, pihaknya telah menyediakan 261 set janakuasa mudah alih 5kW, 203 set janakuasa bergerak, 105 lori, 390 kenderaan pacuan empat roda, 32 buah bot dan 56 lampu limpah.

“Keutamaan akan diberikan kepada lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

“Jauhi daripada menyentuh peralatan elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera kami,” jelas Baharin.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI