fbpx

Ditipu jutawan kosmetik, Wani Chomel tuntut pampasan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL Airawani atau lebih dikenali sebagai Wani Chomel menangis semasa membuat pendedahan tentang manipulasi seorang jutawan kosmetik popular terhadap dirinya. - FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA – Seorang gadis yang pernah tular sebelum ini kerana mengalami masalah berat badan mencecah hampir 300 kilogram (kg) tampil membuat pendedahan dan tuntutan terhadap seorang jutawan kosmetik atas tuduhan teraniaya dan dimanipulasi.

Gadis itu, Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Wani Chomel, 23, mendakwa dirinya seperti ditipu selepas tidak mendapat sebarang faedah dan bayaran seperti yang dijanjikan.

Menurut Wani, dia telah didatangi seorang usahawan kosmetik sekitar Ogos tahun lalu untuk melantik dirinya sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan tetapi perlu menjalani pembedahan pada bahagian perut terlebih dahulu.

“Selepas menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Ogos 2019, saya telah didatangi pihak usahawan tersebut untuk menandatangani kontrak.

“Bagaimanapun saya tidak diberitahu dengan jelas tentang kandungan kontrak tersebut tanpa mengetahui isi kandungannya,” katanya ketika ditemui pada satu sidang akhbar sebentar tadi. 

Ujarnya lagi, selepas selesai menjalani pembedahan bariatrik tersebut, segala urusan melibatkan rawatan susulan dilakukan sendiri olehnya tanpa diberikan wang pembiayaan yang dijanjikan.

Tambah gadis berasal dari Jerantut, Pahang itu, segala rekod kesihatan selepas dia menjalani pembedahan bagaimanapun dipegang pihak usahawan tersebut dan dia tidak mengetahui status serta tindakan lanjut yang perlu dilakukan.

WANI CHOMEL (kanan) bersama peguamnya (tengah) menunjukkan laporan polis bersama kontrak perjanjian yang diberikan seorang jutawan kosmetik tanah air.

“Saya memikirkan soal keluarga kerana pihak usahawan itu telah berjanji akan membantu saya dari segi kewangan.

“Bagaimanapun saya tidak menerima sebarang bentuk bantuan seperti yang telah dijanjikan. Lebih menyedihkan apabila saya cuma menerima ‘upah’ kurang daripada RM1,000 selepas terlibat dengan penghasilan kandungan video tentang produk pelangsingan badan,” katanya.

Pada sidang akhbar tersebut, Wani turut memberitahu bahawa dia terpaksa membuat laporan polis untuk menjamin keselamatan diri selepas didatangi wakil usahawan itu dalam keadaan marah dan telah mengoyakkan kontrak yang telah ditandatangani.

“Saya telah dimarahi hanya kerana telah menerima bantuan daripada pihak lain,” ujarnya. 

WANI tidak dapat menahan air matanya pada sidang akhbar mendedahkan penganiayaan dan pelanggaran kontrak seorang jutawan kosmetik popular terhadap dirinya di Faroz Cafe, Taman Tun Dr. Ismail hari ini.

Tampil membuka mulut, Wani yang turut ditemani peguam, Haziq Aizuddin Subhi berkata, dia ingin menuntut pampasan dan habuan yang telah dijanjikan selain ingin membatalkan kontrak yang telah ditandatangani.

“Saya mengalami kemurungan disebabkan perkara tersebut selain turut dikecam dan dicaci netizen dengan tuduhan tidak berasas.

“Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya mengharapkan bantuan semata-mata,” katanya.

Selain menuntut hak, Wani berharap pendedahan ini mampu membersihkan namanya yang dipandang sebelah mata oleh masyarakat. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI