fbpx
Gambar hiasan

403 individu ingkar PKP dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seramai 403 daripada 412 yang ditahan polis semalam dikompaun atas kesalahan ingar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala sembilan lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 56,090 pemeriksaan dijalankan semalam menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (135), aktiviti pusat hiburan (113), tidak memakai pelitup muka (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (27) dan lain-lain kesalahan (14).

“Sementara itu, Operasi Benteng semalam turut berjaya menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI), 11 tekong serta merampas sebuah bot dan dua kenderaan berat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 296 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan semalam melibatkan Ops Penawar (228 SJR), Ops Benteng PDRM (59 SJR) dan Ops Benteng AKSEM (9 SJR).

“Semalam juga, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 686 premis perniagaan termasuk peruncit (488), pemborong (166) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhannya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” jelasnya. – K! ONLINE