fbpx
GAMBAR HIASAN

Lebih ramai wanita tahu hak tuntut cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR IDAYU BOSRO
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, Kosmo! melaporkan sebanyak 90,766 kes perceraian direkodkan di Mahkamah Syariah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dengan Selangor melaporkan kes tertinggi sebanyak 17,406, diikuti Johor (10,566) dan Kedah (8,302).

Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020 beberapa hari lalu pula mendedahkan jumlah perceraian tahun lalu sebanyak 56,975 meningkat 12 peratus berbanding 50,862 tahun 2018.

Secara perbandingan, angka kes perceraian tahun ini dilihat melonjak hampir dua kali ganda berbanding tahun 2019 yang antara lain mungkin berpunca daripada tekanan emosi dalam mendepani pandemik Covid-19.

Perceraian adalah perkara yang tidak digalakkan dalam Islam tetapi dibolehkan atas alasan atau sebab-sebab tertentu.

Peruntukan undang-undang syariah juga memberi hak kepada isteri atau wanita menuntut cerai secara taklik atau mendapatkan fasakh.

Dalam hal ini, semakin ramai wanita yang dizalimi, teraniaya dan diabaikan cenderung untuk memohon perceraian kerana mereka sudah mengambil tahu serta menyedari hak masingmasing.

Menurut Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, kebanyakan wanita selalu berfikiran mereka tiada hak untuk membubarkan perkahwinan kerana kuasa melafaz talak adalah
di pihak suami.

“Apabila zaman semakin moden, lebih banyak maklumat dapat disampaikan dalam pelbagai bentuk medium sekali gus membantu para isteri yang teraniaya ini dalam tuntutan hak mereka,”
katanya.

Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah berkata, kesedaran dari segi tuntutan perceraian turut menjadi penyumbang kepada trend peningkatan kes-kes perceraian di negara ini.

“Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes-kes perceraian di mahkamah syariah kirakira 20 tahun lalu, kebanyakan kes sebegini memang mengambil masa lama disebabkan kegagalan isteri mengetahui hak mereka yang diabaikan.

“Namun, lebih banyak kes perceraian termasuk tuntutan isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan digantung tidak bertali dapat diselesaikan kerana sudah banyak wanita tahu
hak mereka,” katanya.

Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, ramai wanita tidak mendapatkan khidmat profesional khususnya membabitkan kes perceraian kerana bimbang perlu membayar yuran guaman yang tinggi.

Menurutnya, perkara itu tidak menjadi isu kerana terdapat agensi menyediakan khidmat guaman percuma kepada individu yang memerlukan menerusi Biro Bantuan Guaman.

Katanya, kebanyakan wanita juga salah faham maksud taat kepada suami dan maksud reda dengan ketentuan Ilahi sekali gus membiarkan diri mereka ditindas dalam derita.

“Perbuatan aniaya terhadap isteri merangkumi perlakuan seperti mengasari secara fizikal, memberikan tekanan emosi dan psikologi, memaksa isteri hidup secara lucah dan melupuskan harta isteri.

“Selain itu, suami yang menganiaya isteri ialah yang melarangnya menggunakan hak di sisi undang-undang terhadap harta itu selain menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

“Jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut hukum syarak,” katanya.

BERITA BERKAITAN