fbpx

Dasar kabotaj selamatkan industri perkapalan domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hak bercakap pada sidang akhbar berhubung isu pembatalan pengecualian Dasar Kabotaj Negara oleh Kementerian Pengangkutan di pejabatnya di Ayer@8, Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Tindakan Kementerian Pengangkutan (MOT) menarik balik pengecualian dasar kabotaj untuk menggunakan kapal asing bagi memperbaiki kerosakan kabel dasar laut mampu menyelamatkan lebih 100 syarikat pemain industri perkapalan domestik.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md. Amin berkata, keputusan itu memberi kesan produktif dalam merangsang persaingan kerana semua pembaikan di bawah pengecualian kabotaj sebelum ini dilakukan oleh sebuah syarikat Singapura.

Katanya, selaras dengan pendirian MOT, MASA berpendapat, keputusan itu bukan untuk menyekat kemasukan syarikat-syarikat asing tetapi keutamaan perlulah diberikan kepada syarikat tempatan terlebih dahulu.

“Sebelum ini semua kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut di perairan negara dilakukan oleh syarikat berdaftar di Singapura sehinggalah pembatalan berkuat kuasa 15 November lalu.

“Kami memiliki ahli daripada lebih 100 syarikat pemilik kapal kontena dan tangki. Walaupun masih mampu bertahan ketika semua industri terkesan dengan pandemik Covid-19, keputusan MOT memberikan kesan positif kepada pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pemansuhan pengecualian peletakan kabel dasar laut bagi kapal-kapal asing di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung MASA, Shaharuzzaman Baharum dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif MASA, James Ong.

Abdul Hak berkata, kajian yang dilakukan MASA mengenai kapal kabel di seluruh dunia menunjukkan bahawa syarikat kapal tempatan berkelayakan dan perkhidmatannya diperakui oleh industri untuk pemasangan dan penyelenggaraan.

“Justeru, adalah tidak wajar untuk mengatakan syarikat tempatan tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan pembaikan kabel dasar laut.

“Pengecualian kabotaj sebelum ini telah menyebabkan diskriminasi terhadap syarikat-syarikat tempatan mencipta peluang ekonomi untuk melakukan pembaikan di negara mereka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 menjelaskan keputusan penarikbalikan pengecualian dasar kabotaj itu berkuat kuasa 15 November lalu.

Ka Siong dilaporkan berkata, langkah berkenaan diambil antara lain bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal serta mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

“Ia juga bagi membina kapasiti perkapalan domestik dan meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik, meningkatkan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan selain memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI