fbpx

Ternak rusa jana pulangan lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAD NIN memberi rusa-rusa ternakannya makan ketika ditemui di ladangnya di Kampung Parit Kerimon, Benut semalam.

PONTIAN – Seorang peniaga cenderamata di Kampung Parit Kerimon, Benut di sini, tidak me­nyangka percubaan pertama kali menceburi bidang penternakan rusa sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil apabila meraih pula­ngan yang lumayan.

Mad. Nin Hassan, 50, berkata, pada peringkat permulaan dia hanya menternak 30 ekor rusa yang dibeli dengan harga RM90,000 untuk dijadikan induk.

Menurutnya, selepas tiga tahun mengusahakan penternakan itu, kini dia mampu tersenyum puas apabila penat lelah sebelum ini mendatangkan hasil dengan rusa membiak sehingga 113 ekor.

“Pada tahun 2017 saya memulakan bidang penternakan ini, anak-anak atau baka rusa jenis Timorensis yang dibenarkan di­ternak di negara ini yang berusia lapan bulan dibeli dengan harga RM1,500 seekor daripada pengusaha di Perak dan Negeri Sembilan.

“Selain beli baka, saya juga sudah membelanjakan sebanyak RM60,000 bagi menyediakan kandang yang dipasang dengan pagar khas dan lain-lain keperluan.

“Daripada 113 ekor rusa yang ada, sebanyak 78 ekor telah dijual kepada penggemar ternakan tersebut sama ada disembelih untuk dimakan atau dibeli sebagai hobi mengisi lapang di rumah mereka,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Mad Nin, kini terdapat hanya 35 ekor rusa diladang­nya yang sebahagiannya telah menerima tawaran untuk dijual kepada pembeli dalam tempoh terdekat dengan harga RM3,000 seekor.

“Bagi yang ingin membeli da­ging, kami menjualnya dengan harga RM70 sekilogram terutama pada musim perayaan se­perti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.

Katanya, setiap pagi rusa-rusa ini akan diberikan makanan rumput segar yang dicampur dengan biskut kering serta di­biarkan bergerak bebas di kawasan berumput bagi memberikannya suasana semula jadi.

Jelas Mad. Nin, penternakan rusa tidak terdedah kepada ba­nyak penyakit seperti kambing dan lembu dan keadaan ini memudahkan penjagaannya serta kadar jangka hayatnya sekitar tujuh hingga lapan tahun.

“Daging rusa adalah halus dan sesuai dimasak dengan pelbagai cara termasuk dibuat sup atau dipanggang,” ujarnya.

Mad Nin berkata, dia belum berhasrat untuk menambahkan bilangan ternakan rusa memandangkan kesukaran untuk mendapatkan baka baharu, namun dia juga sedang mengusahakan ternakan ayam kampung di dalam kandang kambing yang telah dikosongkan sementara dengan permulaan sebanyak 10,000 ekor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI