fbpx

Atlet muda perlu jaga sikap, disiplin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Badhri mengingatkan pemain muda jaga sikap serta berdisiplin
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

PERALIHAN tahun demi tahun menyaksikan ramai bintang sukan negara yang memiliki penca­paian mengagumkan pada zaman kemuncak mula meninggalkan arena tersebut atas faktor usia serta kesihatan.

Antaranya legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menggantung raket biarpun terpaksa melupakan impian bergelar juara dunia dan Sukan Olimpik ekoran masalah kesihatan.

Atlet-atlet lebih senior yang lain juga terpaksa mengumumkan persaraan dan melepaskan ‘baton’ kepada atlet lebih muda.

Justeru, atlet-atlet muda yang memiliki potensi besar dalam setiap sukan diceburi perlu be­kerja keras serta jangan mudah berputus asa kerana laluan untuk menjadi yang terbaik sentiasa berliku.

Bagi memastikan kerja keras dan usaha itu membuahkan ha­sil, mereka perlu menjaga sikap serta disiplin sama ada di dalam mahupun luar gelanggang.

Jika gagal, mungkin impian setiap atlet untuk bergelar antara terbaik di dunia sukar dicapai.

Tidak kurang juga terdengar rungutan serta cerita tidak enak daripada beberapa pihak mengenai sikap sebahagian atlet yang dikatakan mula ‘besar kepala’ selepas mendapat lebih perhatian.

Legenda bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan. mana-mana atlet muda tidak kira dalam sukan apa sekalipun, mereka tidak akan ‘ke mana’ sekiranya gagal menjaga sikap serta disiplin masing-masing.

Katanya, sikap mudah ber­puas hati serta tidak menghormati orang sekeliling tidak boleh ada dalam diri seseorang pemain ataupun atlet memandangkan ia dianggap sebagai teras untuk mendapat kejayaan.

“Saya tahu ada sesetengah pemain muda sekarang tidak boleh ditegur apabila sudah beraksi pada pentas lebih tinggi. Sikap sebegitu salah kerana teguranlah yang mampu membuatkan mereka menjadi lebih matang.

“Bagi saya, apa yang paling penting untuk seseorang pemain adalah jangan mudah berpuas hati kerana ia menyebabkan perkembangan anda terbantut.

“Selain itu, hormati orang sekeliling tidak kira sama ada jurulatih, rakan sepasukan mahupun penyokong. Jika tidak boleh jaga aspek ini, anda tidak ke mana,” katanya yang lebih dikenali dengan nama Piya.

Sebelum ini, ramai yang berpendapat, jurulatih-jurulatih hebat mampu melahirkan seorang pemain ataupun atlet berkelas dunia, namun ia sangat menuntut pengorbanan atlet itu sendiri.

Tanpa pengorbanan, tidak mungkin kita boleh menyaksikan kejayaan-kejayaan atlet negara meraih gelaran di peringkat antarabangsa seperti Azizulhasni Awang yang pernah dinobat sebagai juara dunia menerusi sukan berbasikal.

Tidak dinafikan, setiap individu bergelar atlet melakukan pengorbanan yang cukup besar dari segi masa, gaya hidup serta berjauhan dengan keluarga bagi menggalas misi negara.

Pemenang pingat emas acara lontar peluru Sukan Paralimpik Rio 2016, Ziyad Zolkefli percaya jurang perbezaan antara atlet senior dan junior agak besar, namun ia boleh dikecilkan menerusi usaha serta disiplin.

“Mungkin jurang antara atlet remaja dengan senior agak jauh tetapi saya harap mereka tidak berputus asa. Jangan pernah berhenti untuk bekerja keras bagi mencapai cita-cita.

“Apa yang paling penting, te­rapkan dalam diri masing-ma­sing mengenai disiplin. Jika anda berdisiplin, insya-Allah satu hari nanti anda akan capai apa yang diimpikan,” katanya.-K ! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI