fbpx
Maznah bersama suami, Ismail dan anak mereka yang ditempatkan di PPS Masjid Al-Abrar dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaan banjir pulih.

Pesakit angin ahmar nyaris terperangkap dalam banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Tindakan pantas jiran mengangkat seorang pesakit angin ahmar berjaya menyelamatkannya daripada terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Taman Kenari di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pesakit, Ismail Idris, 55, yang sukar bergerak diangkat empat jiran ke Surau Al-Muflihin terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurut isteri kepada pesakit terbabit, Maznah Osni, 51, suaminya diserang angin ahmar kira-kira tiga bulan lalu mengakibatkan bahagian kiri badannya tidak dapat berfungsi.

“Semasa kejadian, saya bersama suami dan anak perempuan, Nur Sazalisa, 14, sedang berbual di ruang tamu rumah.

“Hujan lebat berpanjangan lebih dua jam menyebabkan rumah mula dinaiki air hingga paras buku lali,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Al-Abrar di Taman Peruda di sini hari ini.

Katanya, dalam keadaan panik itu, dia dan anaknya cuba mengangkat suami ke atas katil tetapi gagal dan terus keluar untuk mendapatkan bantuan jiran.

“Jiran datang angkat suami dan terpaksa mengharungi air pada paras lutut sebelum berjaya  menempatkannya di sebuah surau berdekatan.

“Saya bersyukur tindakan pantas jiran berjaya menyelamatkan suami kerana beberapa minit
selepas itu air dilihat memenuhi rumah sehingga paras pinggang,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, banjir kilat yang melanda petang semalam membabitkan empat buah kampung di mukim Sungai Petani dan sebuah kampung dalam mukim Sidam Kiri.

“Seramai 435 orang mangsa daripada 109 keluarga telah dipindahkan dengan
bantuan agensi penyelamat lain ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Al-Abrar
di Taman Peruda, di Surau Kampung Haji Wahab dan Dewan Masjid Al-Huda di Kampung Jerung.

“Selepas air surut penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan tiga PPS terbabit kemudiannya telah ditutup bermula tengah hari tadi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN