fbpx
Nurlieda Khaleeda duduk di bawah kanopi yang dipasang bapanya di atas bukit belakang rumah untuk menjalani ujian dan pembelajaran secara dalam talian.

Nurlieda daki bukit duduki ujian online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Seorang pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terpaksa mendaki bukit di belakang rumahnya di Bukit Petai 7, Gual Ipoh di sini bagi mengambil ujian secara dalam talian.

Demi keselesaan gadis itu, bapanya mengambil inisiatif sendiri dengan mendirikan sebuah kanopi kecil di atas bukit setinggi kira-kira 20 meter.

Pelajar tahun dua Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi, 20, berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini membataskan pergerakannya untuk ke bandar Tanah Merah.

“Sebelum ini, saya akan keluar ke Bandar Baru Tanah Merah untuk belajar menggunakan aplikasi Google Meet. Demi mendapatkan internet yang pantas, saya akan duduk di dalam kereta sehingga kelas tamat.

“Sekarang musim ujian dan saya memerlukan capaian internet untuk menjawab ujian secara dalam talian. Satu-satunya tempat yang mempunyai capaian internet bagus adalah kawasan bukit di belakang rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, gambar Nurlieda Khaleeda sedang menjawab ujian di bawah kanopi di atas bukit di belakang rumahnya itu tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Nurlieda, selain PKPB, faktor hujan berterusan sejak empat hari lalu menyukarkan dia keluar ke bandar Tanah Merah meskipun jarak hanya tiga kilometer dari rumah.

“Ada dua ujian lagi yang perlu diduduki dalam tempoh terdekat. Pihak universiti menetapkan syarat agar setiap pelajar perlu dirakam daripada arah belakang ketika ujian berlangsung bagi mengelakkan penipuan. Jadi, ini pilihan terbaik yang saya ada,” katanya.

Bapanya, Mohd Azmi Ahmad, 48 berkata, dia tidak dapat menghantar anaknya ke bandar Tanah Merah seperti kebiasaan kerana laluan utama keluar dan masuk kampung mereka sudah dinaiki air.

“Saya pasang kanopi di atas bukit dan sambung bekalan elektrik dari rumah terus ke kawasan bukit bagi memudahkan Nurlieda Khaleeda memasang komputer riba. Selain itu, dia perlu membuka kipas bagi mengelak gangguan nyamuk.

“Laluan mendaki bukit ini agak licin dan perlu sentiasa berhati-hati. Kawasan ini juga ada pacat dan banyak nyamuk. Inilah pengorbanan perlu dilalui anak saya demi menimba ilmu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN