fbpx
Gambar hiasan.

Datuk Bandar dedah punca banjir kilat di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taburan hujan yang luar biasa sejak kebelakangan ini dikenal pasti antara punca berlakunya kejadian banjir kilat di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL), Datuk Mahadi Che Ngah berkata, berdasarkan laporan kaji cuaca, Kuala Lumpur me­ngalami taburan hujan melebihi 130 milimeter (mm) dalam tempoh sejam.

“Trend hujan di Kuala Lumpur terlalu lebat ini disebabkan perubahan iklim. Taburan hujan 60mm sejam sahaja sudah dikira sangat lebat, tetapi ibu negara menerima hujan antara 90mm hingga 133mm sejam.

“Ini menjadi faktor beberapa kawasan di ibu negara mengalami kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Mahadi memberitahu, banjir kilat di beberapa kawasan di ibu negara turut didorong oleh faktor lain seperti longkang dan parit tersumbat sehingga tidak mampu menampung hujan luar biasa.

Sebagai contoh, siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) berhubung banjir kilat di Taman Mutiara Barat di sini beberapa hari lalu mendapati ia berpunca daripada tiga saluran air yang tersumbat.

Jelas beliau, terdapat paip air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. dan sisa konkrit di dalam saluran air itu menyebabkannya tersumbat.

Pengesahan sedang dipe­roleh daripada syarikat berkenaan berhubung kewujudan paip air dan sisa konkrit itu supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Sampah sarap seperti botol plastik, sofa, rangka motosikal turut menyumbang kepada kejadian longkang dan parit tersumbat,” katanya.

Permukaan terlalu rendah di kawasan tertentu turut menyumbang kepada insiden banjir kilat.

Mahadi berkata, bagi mena­ngani isu perubahan iklim yang menyebabkan taburan hujan luar biasa di ibu negara, Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 diwujudkan.

Pelbagai program dirangka menerusi pelan itu bagi memastikan pengeluaran karbon di ibu negara berkurangan sehingga 70 peratus menjelang 2030.

“Kita berharap masalah cuaca melampau di ibu negara dapat diatasi menerusi pelan ini dan seterusnya dapat mengurangkan insiden banjir kilat di ibu negara,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN