fbpx

Malakoff rekod untung RM50.8 juta untuk suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) menca­tat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti berjumlah RM50.8 juta bagi suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2020, penurunan 46.2 peratus berbanding RM94.5 juta yang dicatatkan pada S3 2019.

Pencapaian S3 disumbangkan daripada stesen jana kuasa arang batu Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. ekoran harga arang batu lebih rendah serta bayaran penggunaan harian TBP lebih rendah, selari dengan jadual pengura­ngan tarif bermula 28 September tahun lalu.

Perolehan pada S3 2020 me­nurun 20 peratus kepada RM1.482 bilion berbanding RM1.859 bilion tahun lalu, berpunca bayaran tenaga lebih rendah daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. dan stesen-stesen jana kuasa disebabkan faktor penghantaran lebih rendah dan penurunan harga arang batu.

Sumbangan pendapatan daripada Alam Flora Sdn. Bhd. bagaimanapun membantu me­ngurangkan kemerosotan tersebut.

Pengerusi Malakoff, Datuk Hasni Harun menerusi kenya­taan semalam berkata, pengumuman Belanjawan 2021 berhubung projek agihan tenaga elektrik luar bandar dan skim pembiayaan RM2 bilion untuk pelaburan teknologi hijau akan menyokong syarikat tenaga se­perti Malakoff.

Jelasnya, peruntukan RM500 juta bagi perkhidmatan pengu­rusan sisa dan alam sekitar juga memberikan peluang perniaga­an kepada kumpulan menerusi AFSB.

“Malakoff komited dalam as­pirasinya untuk memba­ngun­kan kehadiran tenaga boleh di­perbaharui (RE), selari dengan sasaran kerajaan untuk me­ning­katkan kapasiti RE semasa kepada 20 peratus menje­lang tahun 2025.

“Pada 19 November lalu, kami berjaya memperoleh kelulusan tarif feed-in untuk projek tenaga biogas 2.4 megawatt (MW) di Kota Tinggi, Johor selain menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar dengan Northport (Malaysia) Bhd. untuk projek solar atas bumbung berkapasiti 4.98 MW.

“Kumpulan akan turut serta dalam pembidaan untuk loji sisa di Johor dengan kapasiti 800 tan sehari,” tambahnya.