fbpx
KUPANG yang baru dinaikkan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

Ternakan kupang terbesar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMPUNG Kuala Masai, Masai terletak dalam daerah Pasir Gudang, Johor iaitu kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru. Mempunyai kepadatan kira-kira 2,000 penduduk, komunitinya terdiri daripada nelayan persisiran pantai.

Kebanyakan penduduknya adalah Orang Asli dari suku Seletar dengan aktiviti ekonomi utama mereka berasaskan tangkapan hasil laut.

Selain menangkap ikan, penduduk kampung juga menternak makanan laut seperti udang, siput sedut dan siput sudu atau lebih dikenali sebagai kupang.

Kupang merupakan sejenis hidupan daripada keluarga kerang-kerangan. Haiwan ini mempunyai dwicengkerang dan menjadi salah satu makanan laut yang popular di Asia Tenggara.

Terdapat tiga jenis kupang iaitu kupang laut (pteriomorpha), kupang air tawar (palaeoheterodonta) dan kupang zebra (heterodonta).

Hidupan marin ini boleh dijumpai di kawasan air tawar seperti tasik, sungai dan juga di kawasan pasang surut di pinggir laut di seluruh dunia.

Tahukah anda ternakan kupang terbesar di Malaysia terletak di selatan Semenanjung Malaysia iaitu di perairan Selat Tebrau di Kampung Kuala Masai?
Berkeluasan hampir tiga kilometer persegi, kawasan itu dipenuhi dengan kira-kira 500,000 tong yang diapungkan di atas permukaan air laut bagi membina `rumah’ kupang atau sistem rawai tradisional.

 

PEMANDANGAN di kawasan penternakan kupang di Kampung Kuala Masai di perairan Selat Tebrau ini dipenuhi tong-tong yang terapung di permukaan air.

 

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, industri kupang di Johor begitu memberangsangkan dan mendapat permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, terdapat 53 individu yang menjalankan ternakan kupang di perairan Selat Tebrau itu.

“Kebanyakan penternak kupang di sini terdiri daripada penduduk kampung di Pasir Gudang dan terdapat juga penternak kupang dari kalangan Orang Asli Seletar,’’ katanya kepada Panorama.

Tong terapung

Menurut Azli, usaha menternak kupang di situ turut menerima bantuan dari agensi kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Persatuan Nelayan Johor, Koperasi Melayu Pasir Gudang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Petronas.

Agensi-agensi berkenaan memainkan peranan antaranya dengan memberi bantuan dari segi kebajikan kepada ahli keluarga nelayan termasuk tabung kebajikan bagi pelajaran anak-anak nelayan.

Kru Panorama berkesempatan melihat lebih dekat aktiviti ternakan kupang di Kampung Kuala Masai yang terletak berdepan dengan Singapura.

Dengan menaiki bot bersama Azli, kelihatan pemandangan cantik dengan ribuan tong-tong berwarna biru terapung di permukaan laut yang dijadikan tempat penginapan bagi kupang-kupang membiak.

“Setiap tong akan diikat dengan seutas tali sepanjang kira-kira tiga meter ke dalam laut dan dibiarkan sehingga enam bulan untuk mendapatkan hasilnya.

“Kupang mengambil masa enam bulan untuk matang sebelum dituai. Ternakan ini tidak memerlukan penjagaan rapi seperti ternakan lain yang perlu diberi makan mengikut waktunya,’’ katanya lagi.

Menurut Azli, kupang yang diternak di perairan itu memang terbaik dari segi keenakannya kerana kualiti air di kawasan itu.

Arus air di kawasan itu yang mengalir perlahan menjadikannya amat bersesuaian untuk semua projek akuakultur ternakan ikan dan kupang.

 

 

KELAH (kiri) dan Azli menunjukkan kupang-kupang yang melekat pada tali.

Pendapatan

Jelasnya, dalam sebulan, hasil tuaian boleh mencapai 15 tan secara keseluruhan melibatkan kesemua penternak.

“Pada kebiasaannya setiap tali yang diikat pada setiap tong dapat menghasilkan kira-kira 40 kilogram kupang.

“Sebaik diangkat ke dalam bot, kupang-kupang tersebut akan ditanggalkan dari tali dan dibersihkan dengan membuang kupang hitam yang menjadi perosak.

“Tali itu kemudian dimasukkan kembali ke dalam laut untuk pembiakan kupang seterusnya,” katanya.

Kini penternakan kupang turut menuju ke era baharu dengan penerapan teknologi Norway Smart Farm dan sistem P-Line.

Ini merupakan satu usaha untuk melakukan transformasi dari sistem ternakan kupang sedia ada kepada kaedah moden yang mesra alam, tersusun kemas, tahan lama dan memberikan hasil yang tinggi sehingga berjaya meningkatkan pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.

 

KUPANG makanan laut yang enak dan sesuai dimasak untuk pelbagai sajian.

 

Azli yang juga seorang nelayan berharap kawasan ternakan kupang itu akan dijadikan hab kerang-kerangan. Dia juga berharap agar tidak ada pembangunan di sekitarnya yang boleh mengganggu ekosistem hidupan marin di situ.

Bagi seorang pengusaha Orang Asli yang berjaya dalam ternakan kupang, Kelah Lah 39, kerja menternak kupang kini menjadi pekerjaan utamanya.

Kelah mengusahakan 40 ribu tong daripada 500,000 tong melibatkan 53 penternak keseluruhannya.

Menurutnya ternakan kupang mampu mendatangkan pendapatan yang lumayan dengan sekali tuaian.

 

TERNAKAN kupang mampu menawarkan pendapatan yang baik kepada para pengusahanya.

 

“Ternak kupang hanya memerlukan enam bulan untuk hasilnya dituai. Ternakan juga dilakukan secara hanya sekali modal dengan meletakkan tong yang telah diikat ke dalam air,” katanya.

Ceritanya, setiap hari dia bersama rakannya akan menaikkan kupang seberat kira-kira 40 kilogram ke dalam bot sebelum dibersihkan dan dijual kepada pembeli.

Hasil daripada jualan kupang itu, dia boleh mendapat pendapatan lebih RM1,500 sebulan.

Ternyata ternakan kupang yang di perairan Selat Tebrau di Kampung Kuala Masai ini boleh disifatkan sebagai nadi kehidupan sebahagian masyarakat Orang Asli di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN