fbpx

Guru sekolah disyaki makan daging manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki berjalan masuk ke sebuah pangsapuri di daerah Lichtenberg, Berlin kelmarin. Pangsapuri itu didakwa tempat tinggal seorang mangsa kanibal di Jerman. – AFP

BERLIN – Polis Jerman menahan seorang lelaki berumur 41 tahun kerana disyaki memakan daging manusia atau kanibalisme selepas pe­nemuan tulang manusia tanpa isi di pinggir bandar Berlin.

Pendakwa raya Berlin kelmarin berkata, mereka sedang ‘menyiasat secepat mungkin bagi menyelesaikan satu kes seksual dan pembunuhan yang dipercayai berkait kanibalisme’.

Suspek ditahan pada Rabu lalu berhubung kes kehilangan seorang lelaki berumur 44 tahun pada September lalu di Berlin.

Polis tidak menamakan suspek tetapi akhbar tempatan Bild menamakan individu itu sebagai Stefan R., seorang guru subjek Matematik dan Kimia di sebuah sekolah tinggi.

Pemeriksaan di rumah suspek membawa kepada pe­nemuan satu troli dan alat gergaji pe­r­ubatan di bilik bawah tanah bersama 25 kilogram natrium hidroksida iaitu soda kaustik yang ‘digunakan bagi melarutkan tisu manusia’, kata seorang penyiasat kepada Bild.

Satu peti ais besar juga ditemui di bilik sama tetapi kosong.

Kesan darah ditemui di pangsapuri suspek dan dia belum memberi kenyataan berhubung dakwaan terhadapnya, kata pendakwa raya Martin Steltner.

Polis menyiarkan sekeping foto mangsa, bernama Stefan T., selepas dia dilaporkan hilang dengan harapan memperoleh maklumat daripada awam namun, tidak berjaya.

Beberapa orang awam me­nemui tulang di sebuah taman di daerah Pankow pada 8 November lalu dan analisis forensik mengesahkan ia milik Stefan T.

Siasatan lanjut membawa pihak berkuasa kepada suspek. Suspek ditahan di pangsapurinya, kata polis.

Penyiasat juga memeriksa telefon mangsa dan mengesan pemandu teksi yang membawa mangsa ke pangsapuri suspek.

Pihak berkuasa mendapati, kedua-dua individu itu berkenalan menerusi satu platform pencarian teman online dan suspek ada membuat pencarian berkait kanibalisme, tambah Steltner.

“Berdasarkan tulang ditemui tanpa daging dan bukti lain, kami percaya bahawa mangsa Stefan T. adalah mangsa kanibal,” kata seorang pegawai polis kepada Bild. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI