fbpx

Projek gila-gila Empat Dara 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLY MAZLEIN, Zizi Kirana dan Faizal Tahir mempersembahkan lagu Empat Dara 2020 buat pertama kali dalam televisyen di pentas ABPBH33, Jumaat lalu.

Fenomena lagu Empat Dara yang dinyanyikan oleh pelakon dan pengacara Elly Mazlein menerusi satu adegan dalam drama Kampung People 2, berjaya mencuri perhatian peminat.

Malah, Elly yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom turut memuat naik sepotong rakaman video menyanyikan lagu tradisional Empat Dara di laman Instagramnya dan membuat cabaran untuk menyanyikan lagu tersebut dengan versi sendiri.

Tidak terlepas daripada menyahut cabaran itu ialah penyanyi dan komposer, Faizal Tahir yang memuat naik lagu tersebut.

Klip tersebut turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata mahukan Elly dan Faizal menyanyikan semula lagu berkenaan.

Sehubungan itu, syarikat rakaman Faithful Music telah merealisasikan permintaan tersebut dengan menerbitkan semula Empat Dara 2020.

Sebagai penambah rencah, nama Zizi Kirana turut terjebak menyumbangkan suara serta terlibat dalam penghasilan video muzik lagu berkenaan.

“Tak sangka pula Faizal Tahir melayangkan tawaran untuk bekerjasama dengannya dan Elly. Faizal memberitahu, kerjasama ini disifatkan sebagai projek gila-gila dan saya tak fikir dua kali untuk menerima tawaran ini,” kata Zizi.

FAIZAL benar-benar menyahut panggilan Elly apabila bertindak menghasilkan versi 2020 lagu Melayu klasik Empat Dara.

Kata Faizal pula, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan Elly dalam projek khas tersebut.

“Dia (Elly) mintak masuk, kita masuklah!” jawab Faizal ringkas.

Sebelum ini, Elly mencabar netizen untuk menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versinya dan menawarkan wang saguhati RM100 bagi video terbaik.

Cabaran Elly itu mendapat reaksi daripada netizen termasuk rakan selebriti yang turut merakamkan semula lagu Empat Dara dalam versi tersendiri.

Antaranya adalah Datuk Aznil Nawawi, Achey, Acong Sweetchild, Datuk Fizz Fairuz, Shiha Zikir, Azza Elite dan Ezad Lazim. Video tersebut kini menghampiri 2 juta tontonan dan lebih dari 200,000 komen.

“Tak sangka video itu mendapat perhatian sampai begini sekali, niat saya cuma satu, saya nak buat orang gembira. Bila orang lain gembira, saya akan turut tumpang gembira,” kata Elly selepas video asal tersebut menjadi tular.

Selari dengan tajuknya, Empat Dara 2020 disifatkan telah memberi nafas baharu dan sesuatu yang segar kepada para pendengar tanpa menghilangkan aspek dan elemen tradisional pada lagu tersebut.

Video muziknya juga sangat mudah difahami dengan membawa konsep komedi ringan.

Empat Dara merupakan karya asal Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh, manakala versi terbaharu ini mendapat sentuhan bersama Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Mambang.

Empat Dara 2020 adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Lagu ini sudah mula dilancarkan mulai hari ini di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes.

Manakala video muzik rasmi Empat Dara 2020 juga boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir pada tarikh yang sama.

KEHADIRAN Zizi Kirana (kiri sekali) melengkapkan nilai kontemporari terhadap lagu Empat Dara 2020.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI