fbpx

Jalan sesak ekoran limpahan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesesakan teruk lebih 200 meter dilaporkan berlaku di kedua-dua arah jalan Kuala Selangor-Tanjong Karang berikutan limpahan air, fenomena air laut pasang besar hari ini.

KUALA SELANGOR – Fenomena air laut pasang besar di daerah ini menyebabkan kesesakan lebih 200 meter di dua arah Jalan Kuala Selangor – Tanjong Karang di sini hari ini.

Kesesakan dianggarkan lebih 15 minit itu dilaporkan bermula kira-kira pukul 8 pagi ketika orang ramai sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Ismail Zakariya berkata, laluan tersebut menjadi satu-satunya jalan menghubungkan dua hala antara Kuala Selangor – Tanjong Karang dan Kuala Selangor – Klang.

“Berdasarkan laporan mendapati air pasang mulai melimpah ke jalan berkenaan kira-kira pukul 6.15 pagi sebelum surut lebih dua jam kemudian.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang kesesakan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, tiada sebarang kejadian banjir dilaporkan di daerah ini walaupun terdapat limpahan di kawasan penempatan penduduk.

Ujarnya, pihaknya khuatir dengan Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini dan berharap orang ramai berwaspada terhadap sebarang kenaikan paras laut.

“Sehubungan itu, pemantauan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” ujarnya.

Terdahulu, lima daerah di Selangor dijangka berlaku fenomena air laut pasang besar bermula September lalu sehingga bulan ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan fenomena air laut pasang besar selama dua hari bermula semalam di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah paras 5.6 meter. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI