fbpx

KPDNHEP rampas 2,550 kg minyak masak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Minyak masak bersubsidi bernilai RM6,375 dirampas dalam operasi bersepadu di pangkalan haram Kampung Rahmat, Rantau Panjang kelmarin.

RANTAU PANJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 2,550 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM6,375 yang cuba diseludup dalam operasi bersepadu di pangkalan haram Kampung Rahmat, Lubok Setol di sini kelmarin.

Rampasan itu dijayakan dengan bantuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, sebelum rampasan dijalankan, pihaknya bersama PGA 9 membuat risikan di kawasan tersebut pada pukul 6.45 petang.

“Ketika itu, kelihatan dua lelaki sedang memunggah minyak masak dari sebuah lori dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri ke dalam semak dengan meninggalkan minyak bersubsidi itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Azanizam, barangan itu akan diseludup ke negara jiran selepas dipercayai diambil daripada pemborong sekitar Pasir Mas.

Katanya, dua kenderaan yang digunakan untuk kegiatan itu melibatkan lori bernilai RM75,000 dan pacuan empat roda RM20,000 turut disita.

Tambahnya, kesemua minyak masak dibawa ke stor KPDNHEP negeri untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan dengan niat melakukan penyeludupan ke negara jiran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI