fbpx

Annuar tegas mahu teruskan WBB biarpun terima desakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa tidak berhasrat untuk menyemak semula inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB) biarpun menerima desakan daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan dan persatuan perniagaan.

Annuar berkata, beliau akui menerima beberapa memorandum yang mendesaknya supaya meneliti semula inisiatif berkenaan termasuk mengambil kira beberapa masalah yang bakal timbul.

Menurutnya, beliau sekali lagi menegaskan bahawa program itu akan tetap diteruskan bagi membantu golongan susah di Wilayah Persekutuan untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Saya ingin menyebut secara tegas bahawa saya tidak berhasrat untuk menyemak semula keputusan (pelaksanaan WBB) ini.

“Saya komited untuk mempermudahkan urusan orang yang nak cari rezeki di saat yang sukar ini,” katanya pada sidang akhbar secara virtual hari ini.

Katanya, beliau juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya sekiranya program itu kelak menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu lintas, soal kesihatan dan kacau ganggu pada masa depan.

Annuar berkata, sesiapa yang menimbulkan sebarang masalah akan diambil tindakan serta-merta dan diberi perhatian segera.

Namun, katanya, beliau pada masa sama yakin peniaga kecil ini jujur dan ikhlas untuk mencari rezeki bagi mengatasi masalah kesempitan hidup masing-masing.

“Mereka mungkin orang kecil tapi saya yakin mereka akan memberi kerjasama penuh kepada saya dan tidak merosakkan usaha ini.

“Ada peniaga besar berniaga kerana inginkan keuntungan namun, peniaga kecil hanya berniaga kerana ingin mencari sesuap nasi dan mengatasi kesempitan hidup,” katanya.

Katanya, beliau juga dimaklumkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah bersedia melaksanakan program itu malah, Perbadanan Putrajaya (PPj) juga sudah menyediakan kemudahan permohonan secara atas talian kepada pemohon berminat.

Selain itu, Annuar berkata, beliau turut melantik tiga pegawai di kementeriannya dan mereka diberi mandat untuk memantau secara harian program itu selain mengendalikan sebarang pertanyaan berkaitan inisiatif berkenaan.

Selain itu, Annuar juga memaklumkan bahawa program ini hanya sementara dan dilaksanakan selama enam bulan dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malah, ia juga mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang sudah ditetapkan sebelum ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI