fbpx

Marsha Milan galak derma digital untuk penduduk Sabah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Marsha

PETALING JAYA – Prihatin dengan nasib penduduk di kampung halamannya Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini menjentik penyanyi Marsha Milan tampil membantu. 

Marsha menjalin kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) IKHLAS yang melancarkan inisiatif derma digital kempen IKHLAS Untuk Sabah menerusi pautan ikhlas.com untuk membantu golongan terkesan di Sabah. 

Ujar penyanyi berusia 35 tahun itu, dia tersentuh hati dan berasa terpanggil untuk memainkan peranan menghulurkan bantuan meskipun tidak dapat pulang ke Sabah. 

“Saya berharap usaha ini dapat mendorong lebih ramai orang untuk menderma melalui ikhlas. com agar sama-sama dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan di Sabah,” katanya. 

Kerjasama bersama IKHLAS bermula apabila Marsha sedang dalam pembikinan lagu terbaharu berjudul Insan Tadau bersama rakan penyanyi Velvet Aduk. 

“Lagu ini menyampaikan mesej kerinduan terhadap seseorang. Jadi dalam situasi pandemik ini, paling penting untuk memberi semangat kepada orang Sabah supaya terus kuat pada waktu sukar sebegini. 

“Sejajar dengan usaha IKHLAS Untuk Sabah, saya berharap lagu ini dapat memberi serba sedikit kekuatan emosi kepada orang Sabah,” ujarnya lagi. 

Semua sumbangan yang disalurkan menerusi ikhlas.com akan digunakan untuk membeli barangan keperluan harian sebelum diedarkan kepada komuniti yang memerlukan di Sabah. 

Sementara itu menurut Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin, pengagihan pertama barangan keperluan telah dilakukan pada minggu lepas di Pulau Gaya, Papar, Kudar, Tawau dan Sandakan. 

Pengagihan pertama itu memanfaatkan lebih kurang 1,150 buah keluarga yang kurang bernasib baik. 

Sejak pelancaran, IKHLAS Untuk Sabah berjaya mengutip sebanyak RM136,974 dan inisiatif itu masih dibuka kepada orang ramai yang ingin menyumbangkan derma.  – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI