fbpx

King Rain idam jadi sehebat Soloz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALHARINN (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan dikenali Mimic U ketika menyertai kejohanan Mobile Legends di Kuala Lumpur tahun 2018.

Oleh SAFINA RAMLI

Tiada siapa menyangka bidang e-Sukan menjanjikan pendapatan lumyan kepada mereka yang berani menyahut cabaran sebagai atlet e-Sukan atau pemain profesional e-Sukan.

Atlet profesional e-Sukan, Mohd. Faris Zakaria atau Soloz yang meraih kejayaan sebagai pemain profesional Mobile Legends telah membuka mata banyak pihak mengenai potensi sukan berkenaan.

Kini kerjaya sebagai atlet ­e-Sukan semakin popular dalam kalangan belia apabila menjanjikan masa depan cerah dan sumber pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Malah, menerusi siaran langsung atau penstriman yang dilakukan atlet e-Sukan melalui platform media sosial dan YouTube berjaya menarik tontotan ratusan ribu pelayar sekali gus memberi sumber pendapatan secara konsisten kepada mereka.

Kejayaan Soloz itu juga menjadikan seorang anak muda yang tinggal di Teluk Bahang, Pulau Pinang nekad untuk menjadikan bidang e-Sukan sebagai satu kerjaya tetap.

SALHARINN atau lebih dikenali sebagai King Rain mengidamkan kerjaya pemain profesional e-Sukan seperti Soloz.

Dikenali di dunia maya sebagai King Rain, Salharinn Samad, 20, menjadikan Soloz sebagai idola dirinya dalam dunia e-Sukan.

Salharinn berkata, dia pernah bertemu dengan Soloz ketika menyertai kejohanan e-Sukan di Kuala Lumpur tahun lalu dan ketika itu dia sudah menanam cita-cita untuk menjadi seorang pemain profesional dalam bidang e-Sukan.

“Soloz menjadi satu bukti bagaimana atlet e-Sukan juga mampu berjaya dan melaluinya juga pemain dapat meraih pendapatan lumayan.

“Saya berharap satu hari nanti, saya juga mampu mencapai kejayaan dan mengharumkan nama negara seperti Soloz dalam arena e-Sukan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Salharinn berkata, dia mencipta laman King Rain Gaming pada tahun 2018 dan bergiat aktif bersama pasukannya untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pemain Mobile Legends.

LAMAN media sosial King Rain Gaming dicipta pada tahun 2018 bagi membolehkan Salharinn berinteraksi bersama pemain-pemain lain dalam permainan Mobile Legends.

“Kami aktif selama setahun dan pada tahun lalu, pasukan saya ketika itu, Mimic U berjaya memasuki kejohanan Mobile Legends di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya berhenti bermain Mobile Legends dalam tempoh tiga bulan pada tahun lalu kerana menerima tawaran bekerja di sebuah hotel.

“Tetapi pada awal tahun 2020, saya nekad untuk berhenti kerja dan menubuhkan pasukan baharu kerana mahu terlibat secara serius dalam e-Sukan sekali gus mencapai impian saya untuk berjaya seperti Soloz,” katanya.

Tambahnya, dia bertuah kerana impiannya untuk bergelar pemain profesional dalam bidang ­e-Sukan turut mendapat soko­ngan kedua ibu bapanya.

“Saya bersyukur kerana bapa, Samad Muhammad Desa, 53, dan Sulina Siew Abdullah, 48, amat menyokong minat saya ini.

“Saya berazam untuk ber­usaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kerjaya sebagai pemain profesional e-sukan ini dapat ­direalisasikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI