fbpx

Seorang tahanan reman kes bunuh positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan seorang tahanan reman kes bunuh di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun itu disahkan positif setelah ujian pengesanan Covid-19 dilakukan terhadap suspek berkenaan.

Beliau berkata, sehubungan itu, 60 pegawai dan anggota IPD tersebut telah menjalani ujian pengesanan dan mereka diarahkan untuk kuarantin di rumah masing-masing.

“Kita tunggu keputusan ujian pada petang ini, jika negatif mereka dibenarkan bertugas. Kalau positif, mereka perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin.

“Namun begitu, IPD Segamat masih beroperasi dan lokap berkenaan telah disanitasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Suspek itu merupakan antara lapan individu yang berusia antara 29 hingga 35 tahun yang direman berhubung kes bunuh lelaki warga Bangladesh yang maut dalam satu pergaduhan berlaku di tapak pembinaan Taman Kenari, Bukit Siput, Segamat pada 3 November lalu.

Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa berusia 44 tahun maut akibat cedera parah setelah dilanggar sebuah kereta Proton Gen 2.

Manakala dua rakan mangsa yang lain pula cedera parah.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI