fbpx

4 pengarah syarikat proses kelapa sawit didakwa kes pencemaran Sungai Kundang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat pengarah syarikat dituduh di Mahkamah Selayang di sini hari ini.

SELAYANG – Empat pengarah syarikat sebuah memproses minyak kelapa sawit terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melepaskan bahan buangan ke Sungai Kundang tanpa lesen bulan lalu.

Keempat-empat tertuduh iaitu Ong Seng Khek,71, Low Sze Wai,66,  Siow Lee Chen,56, dan Ong Chee Ming,34, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan dari premis Syarikat United Fineoleo Sdn. Bhd. ke dalam parit yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tersebut di Lot 19701, Jalan KPK 1/3, Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya di sini pada 22 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (akta 127) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Syafie mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap seorang tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melapor diri di balai polis berdekatan dan dilarang menganggu saksi.

Bagaimanapun peguam S.Y Ong memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin RM5,000 atas alasan kesemua anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

“Kebanyakan tertuduh sudah berusia 60 hingga 70 tahun,saya pohon jumlah ikat jamin itu diringankan dengan sebab tidak mampu membayar jumlah ikat jamin yang tinggi selain syarikat tertuduh telah gulung tikar (tidak beroperasi),”katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak,Hakim Syafeera menetapkan jumlah jaminan RM50,000 dengan penjamin berlainan berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan yang mana setiap pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain dilarang menganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

“Tertuduh juga dilarang melakukan kesalahan jenayah dan jika syarat-syarat itu dilanggar jaminan dibatalkan,” katanya.

Tarikh 7 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di hadapan Majistret Hafizah Rajuni keempat-tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan lapan warga Myanmar tanpa kebenaran dalam premis yang sama.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di premis sama pukul 3 petang pada 26 Oktober lalu mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta imigresen sama yang memperuntukkan hukuman tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni mencadangkan jumlah ikat jamin RM5,000 bagi setiap seorang tertuduh namun peguam sama memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan mengguna pakai alasan sama seperti di Mahkamah Sesyen.

Majistret Hafizah kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Pada 27 Oktober lalu, Kosmo! Online melaporkan keempat-empat tertuduh yang merupakan pengarah di sebuah kilang memproses produk minyak kelapa sawit terpakai ditahan reman tujuh hari berhubung pencemaran air di Sungai Kundang, Rawang.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Hafizah Rajuni ke atas kesemua suspek berusia antara 36 hingga 67 tahun selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka selama tujuh hari selepas ditahan di sebuah premis.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 ton pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Siasaran pencemaran itu kemudian membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan terhadap premis tersebut untuk menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera. K! – ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI