fbpx

KPDNHEP beri jaminan bekalan barangan keperluan asas cukup dan mudah diperoleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 6 Disember depan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian telah mengerahkan 2,267 anggota dan pegawai penguatkuasa bersama 1,031 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di 72 pejabat cawangan KPDNHEP untuk melaksanakan operasi pemantauan di seluruh negara.

“Ia bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas, khususnya makanan sentiasa mencukupi dan boleh diperoleh dengan mudah di pasaran, sekali gus mampu menampung keperluan secara berterusan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 12 barang keperluan harian pengguna telah dipantau secara harian oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara antaranya gula, minyak masak, tepung dan pelitup muka,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Alexander berkata, pemantauan 12 barang keperluan asas ini meliputi 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 198 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 587 Dewan Undangan Negeri (DUN) .

“Justeru, tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik dan menyimpan stok barangan di rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan, sejumlah 473,899 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pematuhan semua undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

Ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan dan lain-lain premis.

Beliau berkata, daripada operasi pemeriksaan itu, 4,673 kes sudah dikenakan tindakan mengikut pelbagai akta membabitkan nilai rampasan berjumlah RM60,657,836.

“Keseluruhannya, sebanyak 3,424 kes telah dikompaun sepanjang tempoh PKP; PKPB; PKPP1 dan PKPP2 ini membabitkan kutipan kompaun berjumlah
RM 1,506,752.00.

“Penghasilan kes tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,477 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,306 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 381 kes,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI