fbpx
MESKIPUN tahu lelaki yang dicintainya ialah suami orang, Diana berusaha untuk memikat lelaki itu kerana terlalu tergila-gilakannya.–GAMBAR HIASAN

Gadis sesal separuh nyawa gilakan suami orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan Diana (bukan nama sebenar) akan perbuatan buruknya beberapa tahun lalu.

Selama ini Diana sememangnya seorang gadis kecil molek yang berperwatakan ceria dan amat disenangi rakan-rakan sepejabatnya.

Gadis berumur 28 tahun kelahiran Kuantan, Pahang itu tidak pernah memilih kawan dan boleh bergaul dengan sesiapa sahaja.

Hingga ke saat ini, dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah dilakukannya sekali gus membuatkan kepercayaan serta rasa hormat rakan-rakan sepejabat terhadapnya hilang begitu sahaja.

Menurut anak tunggal berdarah campuran Pakistan itu, natijah perbuatan lampaunya benar-benar menyedarkan dirinya untuk tidak terus hanyut dalam dunia ilusinya.

Menyorot kisah itu, Diana berkata, sebelum ini dia yang telah bekerja di salah sebuah syarikat kewangan selama hampir lima tahun menjalani kehidupan dengan penuh gembira.

“Walaupun sering berdepan masalah dalam hubungan cinta dan kecundang di tengah jalan, namun itu tidak pernah menjadi hal yang utama atau serius bagi saya,” ujarnya kepada Panorama.

Namun, kemunculan seorang lelaki di pejabatnya telah merubah diri dan perwatakannya secara keseluruhan.

Jelas Diana, kemasukan seorang staf lelaki baharu berumur lingkungan 35 tahun sebagai eksekutif di syarikat tempat dia bekerja itulah yang menjadi punca sebenarnya.

“Pada awalnya semuanya biasa-biasa sahaja. Tapi lama-kelamaan, saya mula ada perasaan suka terhadap lelaki kelahiran Arau, Perlis itu sehingga tertanam rasa cinta.

“Bermacam-macam perkara yang saya lakukan untuk menarik perhatian sekali gus cuba memenangi hatinya,” ujarnya yang pada masa itu tidak pernah kisah akan peribahasa bagai perigi mencari timba.

Ceritanya lagi, lelaki berkulit hitam manis dan berketinggian sekitar 180 sentimeter serta sudah berumah tangga itu sentiasa melayan dan menghormatinya dengan cara yang baik sebagai rakan pejabat.

 

DIANA menginsafi dan menyesali niat serta perbuatan buruknya.– GAMBAR HIASAN

 

“Saya sedar dia sudah berumah tangga. Saya juga sentiasa diingatkan olehnya bahawa hubungan baik dan mesra mereka hanya sebagai rakan sepejabat dan tidak lebih daripada itu.

“Pun begitu, perasaan dan nafsu saya pada ketika itu menidakkan segala apa yang pernah keluar dari mulutnya.

“Saya sentiasa mencari jalan untuk menarik perhatiannya walaupun sedar dia merupakan suami orang.

“Setahun perkara tersebut berlalu. Rakan-rakan sepejabat yang rapat dengan saya juga tahu akan perkara ini dan sentiasa menasihatkan saya untuk memadam dan membuang segera perasaan itu,” tuturnya yang langsung tidak pernah mengendahkan pesanan tersebut.

Diana hakikatnya pernah putus tunang akibat ditinggalkan kekasihnya yang berlaku curang, namun dengan suami orang yang dikenali di pejabat itu dia bagai terlalu kecewa dan gila bayang apabila cintanya tidak kesampaian.

Diana pernah terfikir untuk melakukan perkara buruk serta terkutuk yang dilarang di sisi agama semata-mata ingin mendapatkan lelaki itu.

Ujarnya, hatinya pernah terlintas untuk berjumpa dengan dukun yang dikenali dan sanggup membayar khidmat dukun itu asalkan lelaki yang digilai dan dicintai itu menjadi miliknya walaupun dengan cara yang keji.

 

DIANA menyifatkan kemalangan yang terjadi adalah balasan Tuhan atas niat jahatnya.–GAMBAR HIASAN

 

Pun begitu, jelas Diana, manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Beberapa hari selepas terfikir untuk melakukan perkara terkutuk itu, dirinya telah terlibat dengan satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya.

“Kemalangan yang berlaku sewaktu pulang dari tempat kerja itu nyaris menyebabkan nyawa saya melayang. Saya langsung tidak sedarkan diri dan dikatakan koma selama hampir seminggu akibat hentakan teruk pada bahagian kepala selain patah paha kaki kanan,” ujarnya sambil menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir di pipi.

Ungkap Diana, itu mungkin balasan kecil Tuhan atas dosanya yang pernah memasang niat untuk merampas suami orang sekali gus meruntuhkan mahligai suci sepasang suami isteri yang sekian lama terbina.

BERITA BERKAITAN