fbpx

KSM pastikan bekas pekerja Malindo Airways dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan semua kakitangan syarikat penerbangan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Airways) menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata, bekas pekerja syarikat itu juga akan dibantu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.

Beliau berkata, bekas kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (reskilling, upskilling) yang disediakan oleh PERKESO atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Pekerja yang terbabit dengan pemberhentian kerja dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) secara alam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat PERKESO yang berhampiran.

“KSM melalui jabatan dan agensi, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Malindo Airways semalam bagi memastikan hak-hak pekerja yang terjejas dilindungi dan diberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, menerusi perbincangan itu, pihak pengurusan Malindo Airways menyatakan bahawa mereka menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan iaitu bagi bulan April dan Mei 2020.

Saravanan berkata, bayaran ERP untuk bulan April telah memberi manfaat kepada 2,112 pekerja Malindo Airways yang membabitkan bayaran sebanyak RM1.26 juta.

“Sementara itu, bayaran ERP bagi bulan Mei pula telah disampaikan kepada 2,478 pekerja yang membabitkan bayaran RM1.48 juta.

“Semua kakitangan syarikat tersebut yang menerima ERP tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan. Pihak Malindo Airways juga mengesahkan bahawa kesemua bayaran yang diterima, telah disalurkan kepada semua pekerja yang terbabit.

“Rekod PERKESO turut menunjukkan bahawa Malindo Airways telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000.00 bagi bulan Julai dan Ogos 2020 untuk 200 orang pekerja,” katanya.

Katanya, PSU adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban majikan dari segi kos operasi dan secara tidak langsung, mengelakkan pekerja daripada hilang pekerjaan dan punca pendapatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI