fbpx

Polis bantuan disahkan positif adalah petugas PMO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, polis bantuan yang disahkan positif Covid-19 dimaklumkan menerusi sidang akhbar kelmarin adalah petugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan dia mempunyai tugasan di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, saringan dijalankan kepada semua yang terbabit dibuat tiga hari sebelum sidang Parlimen itu bermula.

“Semalam saya maklumkan tiga kes tetapi dua kes itu saringan seorang jurubahasa isyarat di Parlimen dan pegawai pembantu seorang senator disahkan positif.

“Seorang lagi polis bantuan berkhidmat di PMO dan disaring serta didapati positif. Dia ada tugasan di Parlimen, jadi keseluruhannya tiga kes positif.

“Kita menjalankan saringan tiga hari sebelum sidang di Parlimen dan saringan ini membabitkan Ahli Parlimen serta petugas dan mereka dari kementerian lain yang akan bertugas di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan itu, katanya, saringan kontak rapat sedang dijalankan di PMO dengan satu kluster dikenal pasti iaitu Kluster Seridana melibatkan lima  polis bantuan yang dimaklumkan pada sidang akhbar semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mencadangkan ujian saringan berkala dijalankan setiap dua minggu terhadap Ahli Parlimen dan kakitangan bertugas dan cadangan itu dibentangkan untuk dipertimbangkan.

Katanya, perbincangan sudah diadakan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung ujian berkala tersebut.

“Sebagai contoh kita melihat ada pekerja di institusi Istana Negara dan institusi besar lain juga dijangkiti.

“Justeru saya merasakan ini adalah tindakan awal dan proaktif yang perlu dilakukan serta saya berharap ujian saringan berkala itu boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, KKM menjalankan tindakan proaktif termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sebelum semua daerah menjadi zon merah.

Malah katanya, pihaknya juga kini melihat kemungkinan menjalankan tindakan proaktif apabila sesebuah kawasan itu menjadi zon jingga iaitu mempunyai kes positif antara 21 hingga 40 kes.

Beliau memberi contoh mengenai pelaksanaan PKPB di Lembah Klang, ia adalah tindakan proaktif memandangkan ketika itu hanya satu mukim sahaja dalam zon merah.

“Jadi kita mengambil tindakan lebih awal bagi mengekang jangkitan ini. Kita sudah menjalankan penilaian risiko dan kita tahu ketika itu kadar kebolehjangkitan di Lembah Klang tinggi selain mempunyai kepadatan dan pergerakan penduduk yang tinggi,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI