fbpx

Pelan bantuan HLB berakhir Jun 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelanggan Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) yang terjejas akibat Covid-19 boleh terus memohon Pelan Bantuan Ke­legaan Pembayaran (PRAP) HLB sehingga akhir Jun tahun depan.

Pelan bantuan secara bersasar itu menawarkan fleksibiliti pembayaran supaya sesuai de­ngan keadaan kewangan semasa pelanggan atau sebarang perubahan situasi kewangan disebabkan cabaran ekonomi masa kini.

Bentuk bantuan itu meliputi, tetapi tidak terbatas kepada tempoh penangguhan pembayaran tambahan bagi pelanggan yang telah kehilangan pekerjaan atau menutup perniagaan mereka.

Ia juga merangkumi bagi pe­langgan yang memohon pe­ngurangan ansuran pinjaman bulanan dengan jangka masa pinjaman dilanjutkan berse­suaian dengan tahap pengurangan pendapatan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya akan meneruskan bantuan kepada pelanggan selagi mana keadaan memerlukan.

“Kami sedar pemulihan ekonomi memakan masa dan perjalanan ke arah pemulihan tidak sama bagi setiap individu.

“Bank sentiasa fokus dan tangkas dalam memastikan bantuan tambahan diberi kepada mereka yang memerlukannya, sama se­perti yang telah kami lakukan sejak Februari tahun ini.

“Dengan gelombang kes baharu, mungkin ada yang mengalami sedikit ketidaktentuan pendapatan atau aliran tunai, jadi kami me­rancang bantuan bagi memastikan bank memiliki pilihan tepat untuk memenuhi ke­perluan setiap pe­langgan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain penangguhan dan pe­ngurangan bayaran bulanan, HLB turut memiliki pelan khusus yang membantu pelanggan menguruskan hutang kad kredit mereka.

Menerusi Pelan Kelegaan Pertukaran Kad Kredit, pelanggan boleh menukar baki hutang kad kredit mereka kepada pinjaman berjangka.

“Kami juga memberi bantuan kepada pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan atau mengautomasi atau mendigitalkan operasi atau khususnya kepada individu yang sedang mencari pem­biayaan baharu untuk memenuhi keperluan peribadi mereka,” katanya.