fbpx
KEADAAN kedai makan yang terang benderang menjadi penarik untuk orang ramai singgah tanpa mengetahui ia hanya jelmaan sahaja. – Gambar hiasan

Misteri kedai makan bunian tepi bendang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI mereka yang tinggal di Negeri Jelapang Padi, kisah misteri kemunculan restoran di tepi sawah pada waktu malam bukan sesuatu yang asing. Mitos berkenaan sering disampaikan dari mulut ke mulut sehingga tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita yang disampaikan.

Bagaimanapun, terdapat segelintir penduduk tempatan yang percaya dengan cerita disampaikan itu dan ada juga yang mendakwa mempunyai pengalaman sendiri.

Salah satu cerita popular melibatkan restoran di tepi sawah adalah kejadian melibatkan seorang lelaki bernama Amin (bukan nama sebenar) yang dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani ke Kuala Kedah.

Dia yang memandu seorang diri pada lewat malam memilih menggunakan jalan Yan-Tebengau memandangkan laluan tersebut tidak banyak kenderaan.

Sebaik melepasi pekan Sungai Limau Dalam, tiba-tiba Amin terasa lapar dan berhasrat untuk singgah di mana-mana warung berdekatan.

Apabila tiba di laluan lurus yang di kelilingi sawah padi, Amin terlihat dari jauh sebuah kedai makan yang masih dibuka.

Amin agak kehairanan kerana sebelum ini, dia tidak pernah perasan kewujudan kedai makan berkenaan walaupun sering menggunakan jalan tersebut.

 

JALAN lurus dikelilingi sawah padi seperti inilah dikatakan wujud restoran hanya pada waktu malam di Kedah. – gambar hiasan

 

Jumlah pelanggan yang ramai di kedai tersebut membuatkan Amin berasa yakin untuk singgah menjamu selera meskipun jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Sebaik melabuhkan punggung di kerusi, seorang pelayan wanita berwajah pucat datang mengambil pesanan. Amin memilih sajian mi goreng bersama segelas teh panas bagi mengalas perut.

Amin menjamah makanan tersebut dengan penuh selera disebabkan terlalu lapar dan keenakan rasa mi goreng yang dihidangkan itu.

Selepas menjamah makanan, Amin terus membuat bayaran di kaunter sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Kedah.

Keesokan harinya, Amin ingin ke Yan untuk menyelesaikan satu urusan penting.

Dia memasang hajat untuk singgah sekali lagi di kedai makan tepi sawah berkenaan.

Hal ini kerana, tekaknya masih terasa keenakan mi goreng di kedai makan tersebut. Sebaik tiba di lokasi sama pada pukul 5 petang, dia berasa hairan kerana tidak ada kedai makan di situ.

Amin berasa hairan dan bulu romanya meremang apabila memikirkan kedai di singgahinya semalam.

Dia terus berlari masuk ke dalam kereta sebelum mengusap perutnya apabila mengenangkan ‘mi goreng’ yang dijamahnya semalam.

Sementara itu, salah seorang pengguna laluan tersebut yang tinggal di Sungai Yan, Shahrul Ambri Samsuddin, 34, berkata, cerita misteri restoran tepi sawah yang dikatakan milik bunian sudah berlegar dalam kalangan masyarakat setempat sejak sekian lama.

 

SAJIAN ulat mungkin kelihatan seperti mi goreng bagi mereka yang menjamu selera di restoran bunian seperti didakwa segelintir orang.
– gambar hiasan

 

Jelasnya, cerita misteri tersebut telah menyebabkan pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut berasa takut untuk singgah di kedai makan pada lewat malam.

“Saya telah dengar cerita ini dari rakan-rakan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita ini.

“Ada yang mendakwa, jika kita makan mi goreng di kedai bunian itu, sebenarnya ia adalah sajian ulat atau cacing.

“Cerita misteri ini telah membuatkan saya berasa takut untuk singgah di kedai makan apabila lalu kawasan itu pada lewat malam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan mitos itu hanya rekaan orang tua dahulu bagi tujuan menakutkan orang muda.

Katanya, ini mungkin bagi mengelakkan golongan tersebut daripada melepak di kedai-kedai makan sehingga lewat malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN