fbpx
WAN ANUAR menunjukkan koleksi wau hasil tangannya. -ZULHANIFA SIDEK

Legasi pembuatan wau tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUGAS untuk meneruskan legasi gemilang pembuatan wau oleh arwah bapanya yang meninggal dunia dua tahun lalu menjadi cabaran besar buat Wan Anuar Sapie, 42.

Manakan tidak, arwah Sapie Jusoh atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Sapie, 70, merupakan satu nama besar dan amat dikenali terutamanya dalam aspek ketelitian membuat permainan tradisional dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Arwah juga mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf dalam bidang kraf wau kira-kira 11 tahun lalu.

Meskipun mengakui dibayangi oleh kejayaan arwah bapanya, Wan Anuar menganggap cabaran itu bukanlah satu bebanan, sebaliknya penghormatan kerana dapat meneruskan legasi bapanya.

Di sebalik kejayaan bapanya yang berpengalaman selama lebih 50 tahun dalam bidang itu, ini merupakan satu peluang terbaik buat dirinya mempelajari secara lebih mendalam selok-belok pembuatan wau.

Kreativiti dan kemahiran arwah yang kini ‘turun’ kepada Wan Anuar boleh diibaratkan seperti peribahasa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Terbaharu, Wan Anuar meraih tempat ketiga dalam pertandingan Wau Cantik Peringkat Kebangsaan yang dipertandingkan beberapa tahun lalu.

Menyingkap kembali minatnya terhadap pembuatan wau, bapa kepada empat cahaya mata itu mula berjinak-jinak menghasilkan permainan tradisional itu ketika berusia 19 tahun iaitu kira-kira 23 tahun lalu.

 

WAN ANUAR menunjukkan kemahirannya menghasilkan corak pada wau.

 

Menurutnya, pada peringkat permulaan, dia hanya memerhati arwah bapanya membuat wau sehingga timbul minat dan cinta terhadap seni halus pembuatan permainan itu.

“Apabila melihat teknik membuat wau oleh ayah, saya tertarik dengan ukiran dan lakaran pada wau. Secara perlahan-lahan saya belajar dengannya dan tidak menyangka pembuatan wau ini akhirnya menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga.

“Sehingga kini, saya sudah menghasilkan kira-kira 300 wau daripada pelbagai jenis. Saya tidak keseorangan apabila isteri, Wan Rohanizan Wan Mamat, 42, turut membantu melicinkan kerja-kerja sewaktu membuat wau,” katanya ketika ditemui Panorama di galerinya di Kampung Badang, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Wan Anuar, selain wau bulan tradisi Kelantan, dia juga boleh menghasilkan wau-wau negeri lain seperti wau kapal dari Selangor, wau seri negeri (Negeri Sembilan), wau kangkang (Kedah), wau helang (Perlis), wau cenderawasih (Pahang), wau seri bulan (Perak) dan wau udang (Sabah).

Katanya, dia pernah membuat wau paling besar berukuran kira-kira 2.5 meter, manakala paling kecil pula ialah satu meter.

Ujarnya, dia mengambil masa antara tiga hari hingga seminggu untuk menyiapkan wau bergantung kepada corak dan saiz.

“Dalam pembuatan wau, saya perlu teliti supaya hasilnya kelihatan menarik dan cantik, namun tidak mencacatkan rupa bentuk asal wau itu yang mempunyai makna tersendiri.

“Wau yang sudah siap akan dipamerkan di galeri ini. Sekiranya ada individu yang berminat, saya akan menjual hasil kraf tangan ini. Tidak cukup dengan itu, promosi wau yang dilakukan menerusi laman sosial juga mampu menarik peminat-peminat wau dari luar negara untuk membeli kraf dari Kelantan ini,” katanya.

Tegas Wan Anuar, tugasnya mengambil alih kemahiran bapanya itu sebagai satu cabaran besar demi memastikan warisan itu tidak luput ditelan zaman.

Tidak mahu mendabik dada, dia juga masih mempelajari teknik pembuatan wau dengan individu-individu lebih berpengalaman agar kemahirannya tidak terhad kepada corak-corak tertentu.

Menyentuh mengenai latar belakang wau dan layang-layang di negara ini, permainan itu sering dimainkan selepas musim menuai padi sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an kerana tiupan angin ketika itu kencang.

Tidak banyak perbezaan peranan wau dalam kalangan masyarakat di negara ini dahulu dan sekarang iaitu dari segi fungsi dan persekitaran. Permainan wau juga disesuaikan dengan peredaran zaman sehingga masyarakat Melayu telah mencipta reka bentuk baharu wau.

 

MOHD. NAFAQIS menunjukkan antara trofi yang dimenangi dalam pertandingan-pertandingan wau.

 

Pertandingan

Wau dilihat masih lagi relevan dalam kalangan masyarakat khususnya di Kelantan apabila permainan tradisi itu sering dimainkan, misalnya di Kampung Sireh, Kota Bharu.

Seorang pemain wau tegar, Mohd. Nafaqis Razlan, 30, berkata, dia bermain wau sejak berusia tujuh tahun.

Mohd. Nafaqis bukan sahaja gemar bermain wau bulan dan wau puyuh, malah turut mempelajari pelbagai teknik memainkan wau daripada individu yang lebih berpengalaman.

“Sememangnya saya minat bermain wau sejak kecil iaitu ketika berada di bangku sekolah rendah lagi. Saya menjadikan kawasan lapang atau padang sebagai lokasi pilihan.

“Apabila dewasa dan tamat persekolahan saya mula belajar membuat wau sehingga sekarang. Namun, minat untuk bermain wau itu tetap mengujakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sireh.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia sudah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan permainan wau di peringkat tertinggi.

Antara kejayaan Mohd. Nafaqis ialah Naib Johan bagi kategori Wau Tradisi Bengkel Kebangsaan (Menaik) Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2017 dan Naib Johan Festival Layang- Layang Sedunia di Pasir Gudang, Johor tahun lalu bagi Pertandingan Terbuka Wau Kucing.

 

USAHA pembuatan dan permainan wau perlu digiatkan demi memastikan permainan tradisi itu tidak luput ditelan zaman.

 

Katanya, dia akan menyiapkan sekurang-kurangnya lima jenis wau dengan kerjasama lapan rakan kira-kira dua bulan sebelum menyertai sesuatu pertandingan.

“Saya dan rakan yang lain akan bekerjasama menyiapkan lima jenis iaitu wau bulan, wau puyuh, wau kucing, wau jala budi dan wau merak. Setiap wau akan dibuat dengan keunikan tersendiri agar dapat memberi cabaran kepada para peserta lain yang tidak kurang hebatnya.

“Sebelum bertanding, saya dan rakan-rakan akan membuat penilaian terlebih dahulu sama ada wau tersebut mampu naik tinggi atau tidak menggunakan teknik dan kepakaran menaikkan wau dalam tempoh 10 minit seperti semasa pertandingan dijalankan,” katanya.

 

ANTARA suasana yang dapat dilihat di Kampung Sireh, Kota Bharu apabila para remaja bermain wau.

 

Nafaqis berkata, sebagai pemain wau tegar, dia pastinya tidak akan melepaskan peluang menyertai setiap pertandingan permainan tradisional itu di negara ini tanpa mengira lokasi permainan dipertandingkan.

Sementara itu, peminat wau, Faiz Mohamad, 30, yang merupakan seorang peniaga pasar malam gemar membeli wau untuk mengisi waktu lapang demi hobi bermain permainan tradisi itu.

“Saya akan membeli wau puyuh dan wau bulan pada harga antara RM150 hingga RM200. Kebiasaannya, dengan harga itu saya boleh membeli wau berukuran antara 1.5 meter hingga 1.8 meter. Wau itu akan dimainkan pada waktu lapang ketika musim kemarau. Sekiranya tidak dimainkan, sesuatu wau mampu bertahan antara dua hingga tiga tahun jika disimpan dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN