fbpx

Langit, bumi bersatu di Salar de Uyuni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDANGAN langit dan bumi yang kelihatan seperti bercantum di Salar de Uyuni, Bolivia begitu menakjubkan.

BAGAIKAN sebuah mimpi. Begitulah yang dirasai apabila menyaksikan pemandangan langit yang seolah-olah bercantum dengan bumi di Salar de Uyuni, Bolivia.

Panorama menakjubkan itu terjadi ketika musim hujan di gurun atau dataran garam terbesar di dunia berkeluasan 11,000 kilometer persegi tersebut.

Lapisan air nipis pada musim hujan telah menukar wajah padang garam itu menjadi cermin gergasi yang memberi efek imej langit kelihatan bercantum dengan bumi.

Apatah lagi, gurun garam yang berketinggian 3,600 meter dari permukaan laut di banjaran Andes itu turut terlihat seperti menyentuh awan.

Gurun garam itu lebih besar daripada tasik Titicaca yang mempunyai sumber air yang luas di Bolivia dan dikongsi bersama negara jirannya, Peru.

Sehubungan itu, ramai pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di dataran garam semula jadi itu yang juga merupakan tempat paling rata di dunia.

Kawasan di selatan Bolivia itu menjadi terkenal kerana telah menerima kunjungan ramai pelancong yang ingin mencari kelainan dalam percutian.

 

PARA pengunjung begitu teruja menikmati keunikan fenomena itu yang menawarkan efek seperti cermin gergasi.

 

Pengunjung merakam gambar di atas hamparan garam memutih dengan pemandangan menakjubkan itu. Mereka juga tinggal bersama penduduk tempatan yang terasing dari dunia moden.

Paling menarik, mereka juga kelihatan berjalan di atas air dengan pantulan imej langit.

Pelancong perlu membayar sebanyak AS$15 (RM62) sehari bagi membolehkan mereka menginap bersama keluarga petani yang tinggal di gurun garam itu.

Kawasan yang terpencil daripada dunia moden itu tidak mempunyai paip air atau elektrik manakala bilik mandinya pula terletak di luar rumah.

Walaupun pelancong tidak menikmati keselesaan penginapan tetapi mereka memperoleh pengalaman berharga yang tiada di tempat lain.

Pelancong juga berpeluang melakukan aktiviti bersama penduduk seperti menghantar bongkah-bongkah garam ke desa-desa terpencil sebagai pertukaran makanan dan barangan lain.

Selain menjadi lokasi pelancongan, sejak lima tahun lalu tempat itu menjadi antara pengeluar terbesar litium iaitu sebanyak 5.4 juta tan yang terdapat di bawah permukaan dataran garam tersebut.

 

PANORAMA pada waktu malamnya juga begitu mempesonakan.

 

Litium di Salar de Uyuni menyumbang kepada separuh bekalan bahan galian itu di dunia yang digunakan untuk membuat bateri telefon bimbit, komputer dan menjadi elemen utama dalam penghasilan kereta elektrik.

Pun begitu. kesan perlombongan terhadap industri pelancongan masih belum dapat dipastikan.
Kebanyakan pelancong tinggal bersama penduduk tempatan di Atulcha, Villamar dan San Juan yang kesemuanya terletak di gurun garam itu.

“Para pelancong teruja untuk tinggal bersama masyarakat di luar bandar, bahkan mereka mengikuti rutin hidup penduduk tempatan termasuklah menikmati makanan masyarakat di situ.

“Penduduk tempatan juga telah membina beberapa bilik dilengkapi katil untuk para pengunjung menginap,” kata Ketua Lembaga Pelancongan Wilayah Uyuni, Rosa Perez.

Seorang pelancong dari Jepun, Hideki Mizuta, memberitahu, pemandangan di Salar de Uyuni itu sangat luar biasa dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI